fbpx

Kenal 9 Tahun Lalu, Harris Alif Akui Bercinta Dengan Intan Ladyana

Memuat naik foto bersama mengenakan pakaian raya sedondon, spekulasi mengenai hubungan dua pelakon ini akhirnya terjawab apabila Harris Alif mengakui menjalin hubungan cinta dengan Intan Ladyana sejak beberapa bulan lalu.

Harris berkata dia sudah mengenali Intan sembilan tahun lalu namun mula rapat semenjak beberapa bulan lalu apabila mereka sering berhubung. Harris mendedahkan dia terpikat dengan Intan yang mempunyai keperibadian baik.

BACA: Beza Umur 17 Tahun, Intan Ladyana & Harris Alif Sedang Bercinta?

“Sejujurnya, saya dah kenal lama dengan Intan. Lebih sembilan tahun. Tapi ketika itu tak ada perasaan langsung sebab kenal sebagai kawan sahaja.

“Kalau berjumpa di acara, kami bertegur sahaja. Kami rapat semenjak beberapa bulan lalu. Kami sering berhubung dan bermula dari situ, hubungan kami terjalin.

“Intan seorang wanita yang sangat cantik, pandai dan berkeyakinan. Dia mempunyai hati yang sangat baik dan itulah ciri-ciri yang membuatkan saya terpikat dengan Intan,” katanya kepada Astro Gempak.

Meskipun ada yang mempersoalkan jarak usia 17 tahun di antara mereka, namun Harris enggan mengambil pusing tentang perkara itu dan ianya tidak menjadi penghalang untuk meneruskan perhubungan itu.

“Pada awalnya, beza umur 17 tahun membuatkan kami saling tertanya sesama sendiri. Lama kelamaan apabila kami meneruskan hubungan, perkara terbabit tak menjadi masalah.

“Umur bukan isu yang besar atau menjadi penghalang untuk kami. Tidak sama sekali. Tak menjadi penghalang langsung,” katanya.

Di media sosial hangat memperkatakan kisah percintaan Harris dan Intan berikutan jarak usia yang terlalu ketara di antara mereka. Harris bakal memasuki usia 21 tahun pada September depan manakala Intan pula akan menyambut hari lahir ke-38 Jun ini.