fbpx

Kembali Popular, Ramai Kawan Diva AA Muncul Tanya Khabar

Muncul dalam musim kedua program realiti terbitan TV3, Lagu Cinta Kita (LCK2), Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA menjadi bualan ramai. Malah, ramai yang memuji pengacara itu tampil profesional di pentas.

Syukur di atas rezeki yang tidak diduga itu, Azwan berkata selepas kembali mengacara, ramai rakan-rakan lamanya yang pernah menjauh suatu ketika dahulu muncul semula serta menghubunginya bertanya khabar.

BACA: “Jangan Lupa Jasa Saya Jika Saya Sudah Tiada”

“Sekarang ini, apabila nama saya makin disebut-sebut, ramai jugalah rakan lama sejak dari sekolah dan dalam industri dulu sudah menghubungi ucap tahniah. Mereka juga tanya khabar dan kembali ingat pada saya,” katanya.

Ujarnya, ketika zaman kejatuhannya ramai rakan-rakannya yang lari dan jika berjumpa seolah tidak mengenalinya. Azwan turut mempersoalkan mengapa perlu ada budaya menyanjung seseorang ketika mereka itu popular sahaja.

“Kalau dulu, saat saya jatuh ramai yang ‘lari’ dan jika berjumpa pun mereka tidak kenal. Bukan saya nak merungut atau tidak menghargai persahabatan, tetapi kenapa perlu membudayakan sanjungan pada seseorang itu dibuat pada ketika dia popular.

“Kenapa dahulu, tidak terus bersama-sama dengannya di saat dia jatuh. Itu yang menjadi persoalan dan saya sebenarnya tidak minta pun dihargai tetapi bersahabatlah dengan ikhlas,” katanya.