fbpx

“Keluarga Sangat Sayang Dengan Emran Sejak Dari Awal Saya Kenalkan”

Meskipun berdepan kegagalan rumah tangga sebelum ini, namun ia tidak menghalang Noor Nabila dan Engku Emran mencari kebahagiaan mereka apabila selemat diijabkabulkan pada 19 Mac lalu.

Mengenali Emran pada Ogos tahun lalu, Nabila berkata dia dan suami banyak persamaan dan keserasian itulah menjadi penguat cinta mereka hingga ke alam perkahwinan.

BACA: Engku Emran Lamar Noor Nabila Atas Hot Air Balloon

“Kami berdua berkongsi pengalaman hidup yang agak banyak persamaan. Kami pernah melalui pengalaman berumah tangga sebelum ini.

“Jadi, masing-masing sudah matang dan sudah tahu apa yang diinginkan dalam membina mahligai ini. Insya-Allah kami akan buat yang terbaik dan sentiasa ada untuk satu sama lain,” katanya.

Meskipun hanya berkenalan tak sampai setahun dan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, Nabila berkata dia mempunyai alasan kuat untuk kembali bergelar isteri.

“Keluarga saya sangat menyayangi suami sejak dari awal saya perkenalkannya. Tiada istilah serik dalam mencari kebahagiaan.

“Saya bersyukur kerana saya dan Jebat Jayden dipertemukan dengan Emran dan Aleesya pada waktu yang tepat. Pasti ada sebab yang Tuhan sudah aturkan buat kami,” katanya.

Tambah Nabila, dia menyifatkan Emran memiliki sifat penyayang dan romantis, justeru tiada alasan untuk menolak jodoh yang sudah ditakdirkan.

“Dia sangat penyayang, menyayangi dan menghargai saya. Dia ada dengan saya pada masa saya memerlukan nasihat dan teman untuk berkongsi. Dia juga seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarganya sendiri,” katanya.