fbpx

Keluarga Rayu Rawatan Untuk Yasin Sulaiman

Keluarga Yasin Sulaiman memaklumkan pihak mereka dan peguam kini sedang mencuba untuk mendapatkan rawatan perubatan untuk penyanyi dan komposer itu yang menghidap bipolar serius sejak 2009.

Memetik Harian Metro, abang kepada penyanyi itu iaitu Zain Sulaiman berkata urusan rawatan perubatan adiknya itu sebelum ini diserahkan hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya kepada pihak penjara Sungai Buloh.

BACA:  Hafiz Hamidun Pernah Tengok Yasin Mengamuk Di Studio, Sampai Keluar Kata-Kata Kesat

“Kami sedang berurusan dengan pihak penjara untuk memastikan dia mendapat rawatan sewajarnya. Itu sangat penting kerana dia seorang pesakit bipolar.

“Rekod perubatannya menyaksikan Yasin dimasukkan ke Wad Psikiatri HUKM (kini Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) pertama kali pada 2009 dan sejak itu dia berada di bawah pengawasan doktor pakar.

“Dia memang ambil ubat berterusan. Episod paling teruk dilaluinya ialah pada 2009, 2013 dan 2018. Akhir tahun lalu dan awal tahun ini, dia dapat merasakan mungkin episod kronik itu akan berlaku semula.

“Itu yang dia sebut dalam mahkamah dia takut akan ‘crack’ lagi sekali. Akhir-akhir ini dia mengalami bipolar psikosis iaitu satu keadaan di mana pesakit tak dapat membezakan alam realiti dan khayalan,” katanya.

Katanya lagi, Yasin masih mengalami psikosis walaupun diberi ubat tambahan ditambah pula penyanyi itu kini berada dalam penjara.

“Dia dapat ubat tambahan tapi walaupun diberi ubat tambahan, Yasin masih alami psikosis. Itu yang buat kami risau. Bila dia dalam penjara, kami takut faktor-faktor ini akan ‘trigger’ kepadanya.

“Bipolar ini sama ada akan buat Yasin jadi ‘maniac’ ataupun tertekan. Jadi kami nak pastikan dia selalu stabil. Itulah keadaan dia sekarang.

“Peguam, Yusmadi Yusoff dah dapat melawat dia minggu lalu dan akan berbuat demikian lagi minggu ini serta akan ‘follow up’ berkenaan rawatan dia,” katanya.

Dalam pada itu, Zain berkata dia percaya bahawa adiknya menerima layanan yang baik dari jabatan penjara.

Terdahulu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.