fbpx

“Keluar Dengan Suami Pun Dah Kira Bulan Madu”

Baru saja bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan Hafez Halimi Abdul Halim, Nelydia Senrose berkata karier seninya masih berjalan seperti biasa dan tiada sebab untuk memperlahankan kerjaya meskipun sudah berkahwin.

BACA: “Hati-Hati Nelydia Senrose, Nanti Suami Kau Kena Kacau”

“Alhamdulillah, saya gembira majlis pernikahan dan persandingan kami berjalan lancar. Dari segi kehidupan, semuanya tetap berjalan seperti biasa. Saya masih sibuk memenuhi tawaran berlakon, selain memenuhi jemputan dan merencana perjalanan perniagaan.

“Saya tidak nampak sebab kenapa perlu memperlahankan kerjaya selepas berumah tangga. Memang tanggungjawab saya bertambah apabila perlu menguruskan keperluan suami, tetapi saya tidak akan perlahankan kerjaya seni kerana ia sudah menjadi minat,” katanya kepada BH Online.

Nelydia memberitahu, dia dan suami masih belum merancang untuk berbulan madu memandangkan masing-masing sibuk. Katanya lagi, asalkan dia bersama dengan suami baginya ia sudah cukup bermakna.

“Bagi saya dan suami, setiap kali keluar bersama-sama, itu sudah dikira sebagai bulan madu. Ia bukan mengenai lokasi atau destinasi yang kita ingin pergi, sebaliknya lebih bermakna apabila orang yang kita sayang sentiasa berada di sisi.

“Saya tidak mahu terikut-ikut dengan tradisi. Apatah lagi, puasa semakin dekat, jadi lebih baik kami manfaatkan ruang itu bersama-sama kerana ini pengalaman pertama saya berpuasa dengan suami,” katanya.

Nelydia sah bergelar isteri kepada Hafez dengan sekali lafaz pada 6 April lalu dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, Kuala Lumpur.