Didakwa terlalu emosi di satu temu bual baru-baru ini, The Gadys mengakui mereka tidak dapat mengawal perasaan susulan menerima kecaman hebat selepas membuat persembahan di anugerah KNKV.
Memetik mStar Online, salah seorang anggota The Gadys iaitu Aznie memohon maaf kerana teremosi ketika temu bual itu serta mengatakan mereka juga manusia biasa.
BACA: Kesilapan Teknikal Punca The Gadys Menyanyi Sumbang
“Kami manusia biasa memang ada perasaan jadi bukannya kekwat tapi agak terasa dengan komen netizen, minta maaf kerana teremosi dalam percakapan kami.
“Mungkin boleh saksikan video penuh untuk tahu lebih lanjut, kami menerima segala komen lagi pun sedar suara sumbang,” katanya.
Sementara itu, The Gadys berkata mereka akan mengasah lagi nyanyian mereka dan akan terus belajar memandangkan mereka juga masih baru dalam industri.
“Kami bukanlah penyanyi profesional, kami bukan penyanyi yang solid. Kami melihat diri kami sebagai penghibur dalam industri seni. Sebelum kewujudan Thamiera, kami mula dengan berlakon dulu,” katanya.
Dalam pada itu, The Gadys memberitahu mereka tidak membaca komen-komen kecaman netizen serta mengakui terkesan kerana kali pertama berlaku sepanjang berada dalam industri hiburan.
“Kami tak baca komen kerana risau akan ‘koyak’, tapi sedih juga sebenarnya tapi sejujurnya memang sudah jangkakan perkara ini akan berlaku tapi tak tahu pula seminggu selepas membuat persembahan baru jadi tular,” katanya