fbpx

Hangat diperkatakan mengenai status rumah tangganya sebelum ini apabila pelakon Sharifah Sakinah mengesahkan bakal berpisah dengan suaminya, Michael Hensen.

Memetik Harian Metro, Michael berkata mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk berpisah secara harmoni memandangkan kedua mereka mempunyai tanggungjawab di negara masing-masing.

BACA: Sharifah Sakinah Sahkan Mahu Bercerai

“Sakinah mempunyai Anais (anak hasil perkahwinan pertama) dan kerjaya yang hebat di Malaysia, manakala saya memiliki dua cahaya mata dan perlu bekerja di Sweden. Jadi, agak sukar untuk kami berdua bergerak ke mana-mana.

“Keputusan untuk menamatkan perkahwinan ini dibuat secara bersama selepas melalui hasil perbincangan dan dipersetujui oleh kami berdua,” katanya.

Menurut Michael yang juga merupakan warga Sweden berkata ini adalah keputusan terbaik buat mereka namun masih mengekalkan hubungan baik serta mendoakan kebahagiaan buat Sakinah.

“Kami percaya ini adalah tindakan yang terbaik ketika ini supaya kami boleh fokus dengan perkara yang penting iaitu anak-anak serta keluarga masing-masing. Apapun, kami masih kekal sebagai kawan baik dan semuanya baik-baik saja.

“Sakinah adalah wanita yang berbakat, lucu, berkarisma dan berhati mulia. Saya tidak mengharapkan apa-apa selain mendoakan kebahagiaan dan yang terbaik untuk dirinya,”katanya.

Dalam pada itu, Michael mengaku berlaku sedikit ‘drama’  ketika mereka memilih untuk berpisah secara baik. Ujarnya, hubungan mereka memerlukan usaha lebih keras apatah lagi berada di negara berbeza.

“Hubungan jarak jauh adalah sukar dan menuntut usaha yang lebih keras. Walaupun anda berada di negara yang sama tetapi berbeza bandar, ia masih sukar. Jadi bayangkan perbezaan waktu kami iaitu enam hingga tujuh jam dan masa perjalanan 17 jam untuk kami bertemu, maka ia sangat sukar.

“Tidak kira berapa banyak anda mencuba dan berusaha keras, kadang-kadang ia sudah tidak boleh diselamatkan,”katanya.

Terdahulu, Sakinah mengesahkan bakal bercerai dengan Michael selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.