fbpx

“Kami Dah Lama Tak Macam Suami Isteri” – Puteri Sarah

Pelakon Puteri Sarah memohon agar suaminya, pengarah terkenal Syamsul Yusof menceraikannya kerana dia tidak nampak jalan berdamai buat mereka.

Memetik Harian Metro, Puteri Sarah turut mempersoalkan sinar apa yang dimaksudkan oleh suaminya apatah lagi mereka sudah setahun tidak berjumpa.

BACA: “Saya Hanya Mahu Dilepaskan, Saya Dah Tak Ada Perasaan Terhadap Syamsul”

“Saya sudah setahun tidak bertemu dia dan selepas setahun, ini baru pertama kali saya berjumpa dengannya. Apa yang ada sinar lagi? Biarkan saya pergi.

“Saya harapkan supaya saya dilepaskan dengan baik. Jangan susahkan lagi keadaan. Untuk apa? Awak dah kahwin baru, pergilah dekat isteri sana. Saya tak marah,” katanya.

Dalam pada itu, Puteri Sarah nekad untuk bercerai kerana mereka sudah tidak lagi menjalani kehidupan sebagai suami isteri, malah Syamsuk tidak laksanakan tanggungjawab suami.

“Kami dah lama tak macam suami isteri. Dia dah lama tak jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. Nafkah anak-anak dia tak abaikan. Lagi sekali, nafkah anak-anak dia tak abaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata kini semuanya sudah terlambat dan hatinya sudah tertutup untuk berdamai sedangkan perbincangan sepatutnya dilakukan tiga tahun lalu.

“Perbincangan itu sepatutnya berlaku tiga tahun lepas, kepada orang-orang di luar yang kata saya menghalang poligami, mereka semua sebenarnya tak tahu apa yang berlaku.

“Pada waktu itu saya tutup aib dia kerana masih sayang, tapi sekarang bila tak mahu melepaskan saya, saya jadi tertanya-tanya kenapa? Saya hanya mahu keluar daripada masalah ini, saya nak move on, dah terlambat kalau baru sekarang nak tersedar isteri dah hilang,” katanya.