fbpx

“Kami Akan Berkahwin Bila Semua Isu Reda”

Nampaknya pelakon Faye Kusairi yang terlibat dengan kontroversi rumah tangga pengarah, Azmi Hatta dan penyanyi Elly Mazlein, memberitahu akan berkahwin sekiranya semua masalah ini diselesaikan dengan baik.

BACA: Faye Kusairi Gelar Wartawan Dan Media Bodoh

“Persediaan untuk berkahwin tidak ada. Dia (Azmi Hatta) ada merancang, kalau semua perkara selesai kenapa tidak sebab dia pun solat dan tengoklah bagaimana nanti. Untuk menamatkan zaman bujang pula, In shaa Allah kalau dipermudahkan,” katanya yang ditemui di Majlis Sidang Media Anugerah Skrin (ASK) 2016.

Tambahnya lagi, hubungannya bersama Azmi Hatta semakin rapat walaupun kini masih dibelenggu dengan isu ini. Faye turut berkata bahawa mereka berdua mendapat sokongan daripada keluarga masing-masing.

“Kami tidak ada masalah, keluarga dia dan saya baik serta turut memberikan sokongan masing-masing. Mula-mula ingat bila perkara begini terjadi akan merenggangkan hubungan kami, tetapi semua tenang dan jadi rapat pula,” katanya kepada Rotikaya.

Sementara itu, Faye turut memohon maaf buat semua wartawan dan media di atas kekhilafannya memuat naik status yang membuatkan semua wartawan dan media berasa dihina oleh kata-katanya di laman Twitter.

“Saya memohon maaf secara umum di atas apa yang telah saya perkatakan. Saya minta maaf banyak-banyak kalau saya salah, saya tetap salah dengan media. Apa yang saya nak cakap sebenarnya ialah provokatif sahaja, bukan saya maksudkan media itu bodoh dan saya tak bermaksudkannya. Saya minta maaf sangat-sangat,” katanya yang hanya ingin membersihkan namanya sahaja daripada kontroversi tersebut.