fbpx

Diragut Di Barcelona, Kamal Adli Hilang RM10,000

Baru-baru ini Kamal Adli telah terbang ke negara Eropah bagi menjalani pengambaran program serta drama, namun apa yang menyedihkan, beliau telah diragut ketika leka mengambil gambar di Barcelona, Sepanyol. Dalam kejadian itu, beliau telah kehilangan wang tunai RM10,000, serta beg yang mengandungi dokumen penting seperti MyKad, pasport antarabangsa dan visa.

BACA: Zizan Razak Doa Yang Terbaik Buat Kamal Adli, Emma Maembong

“Kesilapan sendiri juga memandangkan ketika kejadian itu saya leka mengambil gambar pemandangan sekeliling. Beg sandang berkenaan saya letakkan di atas bagasi pakaian. Kejadian berlaku dengan pantas, sekelip mata ia hilang. Memang peluh sejuk mengenangkan pasport juga disimpan dalam beg itu selain duit belanja sepanjang perjalanan di negara orang”

“Cuma proses penggantian pasport dan visa agak renyah, saya buat pasport baharu di London. Soal ini memang rumit kerana pasport dan visa bukan boleh dapat serta merta, dalam tempoh seminggu baru saya dapat. Pengalaman itu memang sedih untuk dikenang. Dalam kita berjaga-jaga pun, barang berharga lesap begitu saja,” katanya kepada Berita Harian Online.

Tambahnya lagi, kejadian malang itu berlaku di hadapan premis hiburan, Hard Rock Cafe di Barcelona ketika ramai orang berpusu-pusu keluar masuk hingga menyukarkannya proses mengesan kelibat pencuri terbabit. Namun beliau agak bernasib baik kerana pada ketika itu ada sedikit wang simpanan di dalam akaun bank untuk menampung perbelanjaan disana.

Bagaimanapun, walaupun terpaksa bersusah payah membuat kesemua dokumen penting yang telah hilang, beliau berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia di London dan pihak imigresen kerana memberi bantuan kepadanya disana dan membantu memudahkan segala proses berkaitan dengan dokumen akibat kehilangan beg sandang beliau ketika disana. (rkty/w)