Sudah lapan tahun mendirikan rumah tangga namun masih belum dikurniakan zuriat, pelakon Aprena Manrose mengambil pendekatan reda namun tidak penat berusaha untuk dapatkan cahaya mata.

Memetik Kosmo, Aprena berkata tahun ini dia kembali aktif berlakon selepas dia memperlahankan karier tahun lalu kerana sibuk dengan rawatan kesuburan in-vitro (IVF).


BACA: Pakai Hoodie Nampak Leher,  Aprena Manrose Bagi Bayangan Buka Tudung?

“Tahun ini saya mula kembali aktif dalam lakonan sebab sepanjang 2023 serta tahun sebelumnya saya sibuk dengan prosedur IVF sehingga perlu memperlahankan karier.

“Situaisi itu membuatkan orang fikir saya sudah tidak lagi mahu berlakon. Sebenarnya duduk rumah lagi stres, jadi saya perlu bekerja. Tahun ini saya rasa tahun reda, berserah sahaja tidak mahu fikir,” katanya.

Sementara itu, Aprena berkata tidak mengapa jika tidak dikurniakan cahaya mata di dunia dan dia serta suami, Afiq Hazman sedia menunggu untuk rezeki zuriat.


“Kalau ada (anak), ada. Kalau tiada, tidak mengapa. Bagi saya, kalau tiada (anak) di dunia, dapat di akhirat. Nak stres sangat pun sudah lapan tahun kami bersabar, jadi saya dan suami boleh tunggu lagi untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Aprena berkata dia dan suami menunggu masa yang tepat untuk menjalani rawatan IVF sekali lagi dan belum memikirkan lagi soal mengambil anak angkat.

“Nak cuba sekali lagi kalau ada rezeki, tetapi semua atas keputusan suami kerana suami yang akan gerakkan semua sebab dia ada cakap nak buat IVF kali kedua.

“Cuma, andai masih belum ada rezeki selepas mencuba, mungkin kami akan pertimbangkan untuk ambil anak angkat. Sebelum ini suami cakap tidak mahu ambil anak angkat. Dia bimbang sekiranya hamil anak sendiri, kami tidak boleh bahagikan kasih sayang,”katanya.