fbpx

“Kalau Terlalu Buruk, Saya Sendiri Akan Tarik Diri”

Konsert Big Stage 2022 minggu pertama semalam mengejutkan ramai apabila usahawan sensasi, Ahmad Iqbal Zulkefli diumum sebagai peserta ke-12 program itu.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Iqbal mengakui persembahannya semalam kurang memuaskan serta menerima dengan hati terbuka dengan markah diberikan.

BACA: Ajai Hanya Bagi Iqbal 5 Markah Di Big Stage

“Sesampai di rumah, saya muntah kerana terlalu banyak berfikir, kecewa dengan persembahan sendiri. Waktu menyanyi di pentas, saya tidak dapat kesan suara nyanyian saya seteruk yang terpapar di TV tadi.

“Saya terima sepenuhnya markah juri berikan. Apa yang netizen katakan nyanyian saya sangat rosak, saya sendiri pun bersetuju. Saya rasa bersalah pada ASTRO dan semua yang telah berikan saya peluang. Maafkan saya cikgu jika ini mengecewakan,” katanya.

Kata Iqbal lagi, dia berharap agar semua pihak memberikan dirinya sedikit pertimbangan kerana dia bukanlah seorang penyanyi serta tidak sempat melakukan latihan.

“Saya mohon jasa baik semua, berikan sedikit pertimbangan untuk saya yang bukanlah seorang yang terdidik sebagai seorang penyanyi apatah lagi di pentas sehebat itu. Segalanya kejutan. Tidak sempat latihan seperti peserta lain,” katanya.

Dalam pada itu, Iqbal turut meminta agar diberikan peluang untuk belajar dalam program tersebut dan bersedia untuk menarik diri jika persembahannya teruk di minggu hadapan.

“Berikan saya peluang untuk belajar. Tidak mengharapkan kemenangan, seminggu sahaja lagi, kalau terlalu buruk, saya sendiri akan tarik diri walaupun tiada penyingkiran di minggu hadapan,” katanya.