fbpx

“Kalau Betul Saya Dapat RM40,000 Satu Malam, Buat Apa Berlakon Lagi?”

Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan ada segelintir artis dan Instamous dipercayai terlibat dalam sindiket pelacuran kelas atasan.

Susulan pendedahan itu, ada pihak yang mengaitkan nama pelakon Chacha Maembong. Tampil mempertahankan dirinya, Chacha menafikan dirinya terbabit dalam sindiket pelacuran yang dibayar RM20,000 sehingga RM40,000 untuk satu malam.

BACA: Chacha Maembong Berang Dituduh Kawan Baik Suspek Cuci Duit Haram

Chacha berkata tuduhan itu adalah fitnah yang sengaja mahu menjejaskan kerjaya seni dan perniagaannya. Ujarnya, jika benar dia melakukan kerja demikian buat apa dia perlu bersusah payah untuk berlakon lagi.

“Kalau betul saya dapat RM40,000 satu malam, buat apa nak berlakon lagi? Saya bekerja dari dulu sampai sekarang memang cari rezeki. Orang nak cakap apa dan fitnah macam-macam, teruskan.

“Satu hari akan terbukti juga. Semalam keluar gosip kaitkan nama saya dalam skandal RM40,000. Ramai mesej peribadi (DM) di Instagram dan komen. Kalau betul, saya tak perlu berlakon dan kerja.

“Tapi itulah, semua itu mulut orang dan kaitkan dengan perangai saya dulu. Apabila saya sudah berubah pun, orang tetap kaitkan lagi dengan perangai lama saya. Bagi saya, ia adalah lumrah mulut orang,” katanya.

Dalam pada itu, Chacha berkata tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menuduh dirinya terbabit dalam aktiviti Macau Scam.

“Mereka kata produk saya datang dari wang haram. Saya perlu menjelaskan perkara ini demi menjaga reputasi produk saya apatah lagi ia masih baru di pasaran. Lagi pula ini kerjasama saya dengan Alken dan tidak ada kaitan langsung dengan aktiviti haram itu.

“Saya akan ambil tindakan undang-undang pada komen yang melampau. Ia menjejaskan kerjaya, perniagaan dan nama ahli keluarga lain. Saya berani kerana saya tak salah. Jadi apa yang orang nak cakap, cakaplah,” katanya.