fbpx

Bakal muncul dalam filem Malbatt Misi Bakara, pelakon dan penyanyi Dafi menafikan dakwaan pemilihannya adalah untuk memanfaatkan statusnya sebagai anak Perdana Menteri.

Memetik Media Hiburan, Dafi berkata dia sememangnya mempunyai hubungan baik bersama pengarah, Adrian Teh selepas berkerjasama dalam filem Ada Hantu serta percaya dengan komitmen yang diberikannya.

BACA: Dafi Akui Ada Yang Cuba Dekati Selepas Bapa Jadi PM

“Adrian sebelum ini pernah menghasilkan filem Paskal. Jadi, dia memang sudah ada hubungan yang baik dengan tentera Malaysia. Ini bukan fasal ambil kesempatan.

“Saya ditawarkan watak ini sebab saya pernah bekerja dengan Adrian untuk filem Ada Hantu. Itu merupakan projek pertama saya dengan Adrian.

“Hubungan kerjasama itu memang sudah lama wujud. Mungkin dia melihat saya sesuai dengan watak ini dan boleh memberikan komitmen penuh. Sebab itu dia panggil saya lagi,” katanya

Menurut Dafi lagi, dia tidak menolak seandainya ada pihak yang ingin memberikan layanan istimewa terhadapnya serta meluahkan rasa syukur.

“Saya harap orang tak salah anggap apa yang ingin saya perkatakan ini. Saya tak pernah rasa yang saya ini punyai apa-apa keistimewaan sebagai anak Perdana Menteri.

“Namun, kalau ada pihak yang ingin memberikan peluang atau layanan istimewa tanpa saya minta, saya akan terima sahaja. Saya tak patut nafikan perkara itu sebaliknya saya harus bersyukur.

“Terima kasih kepada ayah saya kerana bekerja keras. Saya pandang dari sudut positif. Saya tumpang sikit sahaja dan yang penting saya tidak meminta-minta,” katanya