Mengakui terkilan dengan kenyataan Tasha Shilla yang menuduhnya sebagai punca perpisahan pelakon tersebut dengan bekas kekasihnya, Kaka Azraff menyifatkan tuduhan yang dilemparkan kepadanya itu sebagai sesuatu yang melampau.
BACA: Tasha Shilla: Yang Pentingnya Hati, Bukan Pakaian
Menafikan dakwaan berkenaan, Kaka mengatakan Tasha mendedahkan perkara tersebut bagaikan mahu mendapat publisiti murahan sedangkan Tasha boleh sahaja berbincang dengannya terlebih dahulu. Malah Kaka sendiri menjadikan perkara tersebut sebagai pengajaran dalam memilih kawan.
“Saya tidak sangka Tasha menuduh saya sebegitu. Saya pernah berborak dengan Hans di sebuah majlis, tetapi kami borak biasa sahaja. Selepas itu saya tidak pernah berhubung apatah lagi mahu berbalas mesej dengan kekasih dia”
“Bagi saya tuduhan Tasha terhadap saya itu melampau dan hanya mahu mencari publisiti murahan,” katanya kepada mStar Online menjawab kembali tuduhan Tasha menerusi sebuah akhbar mingguan mendedahkan Kaka cuba mengambil kesempatan untuk rapat dengan kekasihnya ketika mereka dilanda masalah.
Selain itu, Kaka juga menganggap bahawa apa yang dilemparkan kepadanya itu sebagai salah satu fitnah yang sangat berat, namun menerimanya sebagai publisiti percuma yang diraih dalam mempromosikan single lagu terbaharunya, Bukan Hal Aku. (rtky/s)