Pelakon Julia Farhana mengakui bukan mudah untuk kekal istiqamah apatah lagi buat mereka yang baru berhijrah serta menenakan hijab.
Memetik Utusan Online, Julia berkata berhijab bukan sekadar memakai tudung tetapi perlu menjaga percakapan dan gaya hidup ke arah lebih baik.
BACA: Julia Farhana Mohon Maaf, Lufya Minta Jangan Lagi Jolok Sarang Tebuan
“Pertama kali bertudung adalah ketika Ramadan, waktu itu iman di fasa yang sedang kuat. Namun bila habis Ramadan, tidak tahu mengapa tiba-tiba ia menjadi sangat sukar.
“Bila bertudung, ia bukan hanya tentang ubah cara pakai baju. Tapi harus ubah seluruh gaya hidup seperti jaga solat, jaga cara percakapan dan pergaulan. Percayalah, ia sangat sukar,” katanya.
Menurut Julia lagi, dia pernah menangis depan suami kerana sukar untuk kekal berhijab. Namun, suaminya sering memberikan sokongan buat dirinya.
“Kadang saya menangis depan suami saya sebab sukarnya untuk kekal istiqamah bertudung. Kalau tiada suami saya, saya tidak tahu apa akan jadi dengan saya sebab dia yang akan ingatkan saya tentang nikmat hasil daripada setiap kesabaran.
“Dia juga pesan, saya sudah berjalan sejauh ini, oleh itu jangan patah balik. Dia akan ajak berzikir dan baca al-Quran bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Julia turut mengingatkan agar orang ramai untuk tidak mudah menghakimi perjalanan hijrah seseorang artis sebaiknya mendoakan yang baik-baik.
“Kita jangan sesekali cuba menghakimi perjalanan hidup seseorang. Lebih baik kita amalkan untuk mendoakan yang baik-baik kepada sesiapa sahaja yang sedang berusaha menjadi lebih baik.
“Hanya kerana dia seorang selebriti dan menjadi pusat perhatian, tidak semestinya dia perlu tampil sempurna sentiasa. Ujian ini dilakui banyak orang, tidak hanya selebriti,” katanya.