fbpx

Jual Produk Tak Berdaftar KKM, Sajat Didenda RM14,500

Syarikat milik usahawan kosmetik terkenal, Nur Sajat didenda RM14,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan memiliki dan menjual produk kosmetik tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikatnya Nur Sajat dan Ashaari Maznan, 46 selepas mereka menukar pengakuan bersalah atas 17 pertuduhan dihadapi.

BACA: Kongsi Video Pakai Baju Pengantin, Sajat Nak Kahwin?

Hanie Dzatul Akhmar menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi 12 pertuduhan manakala RM500 bagi lima pertuduhan lain terhadap syarikat itu yang juga Orang Kena Saman (OKS) dalam kes berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, OKS didakwa memiliki keluaran yang bukan keluaran berdaftar iaitu ‘Esansue White 5 ml’; ‘Aqua Skin Collagen’; ‘Bio Swiss Bio-Celeren Stem Cell’ dan ‘placenta lucchine’.

OKS juga didakwa memiliki produk tidak bernotifikasi iaitu ‘Soothing Ampaule’; ‘Upgrade Whitening Ampaule dan ‘Pure Collagen Ampaule’.

OKS dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di premis syarikat itu di Jalan Serai Wangi K16/K Seksyen 16, Shah Alam di sini pada 11.40 pagi, 15 Ogos 2018.

Terdahulu, kedua-dua pengarah berkenaan dalam rayuannya memohon hukuman ringan memandangkan perniagaan anak guamnya terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.