fbpx

Joe Flizzow Menang Anugerah Di MTV EMA 2018

Penyanyi Joe Flizzow mencipta sejarah menjadi penyanyi pertama Malaysia memenangi trofi Artis Terbaik Asia Tenggara pada Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 (MTV EMA 2018) yang berlangsung di Sepanyol baru baru ini.

Joe Flizzow berkongsi berita membanggakan itu menerusi Instagram beliau berserta beberapa keping gambar bertemu dengan bintang terkenal seperti Lindsay Lohan, Dua Lipa dan Terry Crews.

“Hari ini dalam sejarah. Untukmu, Malaysia! Terima kasih semua. Terima kasih MTV untuk anugerah ini. Saya ingin dedikasikan kemenangan ini buat semua peminat dan kawan-kawan di Malaysia. Terima kasih keluarga, label saya Sony Kartel, pengurusan dan semua yang percaya serta mengundi saya”

“Ini membuktikan walaupun industri hip hop di Malaysia kecil, namun disebabkan kita bersatu-padu, sangat berbaloi untuk pencapaian ini. Tidak ketinggalan buat semua pengamal hip hop sekitar Asia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina, hip hop Asia masih berbisa,” katanya.

Dalam kategori berkenaan, Joe menewaskan Afgan dari Indonesia, IV of Spades (Filipina), Min Hang (Vietnam), Slot Machine (Thailand), The Sam Willows (Singapura) dan Twopee Southside (Thailand). (rtky/m)