fbpx

JKM Cari Aliff Syukri Di Pejabat Isu Rotan Anak

Baru-baru ini, Datuk Seri Aliff Syukri dikecam teruk apabila beliau memuat naik satu video mengatakan beliau merotan anak perempuannya, Qadejah El Zahra, kerana membuka tudung di hadapan lelaki tidak kenali, sehinggakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap usahawan kosmetik itu.

Susulan laporan yang dibuat berhubung isu tersebut, Aliff Syukri memaklumkan beliau menerima kunjungan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pagi semalam.

BACA: NGO Buat Laporan Polis Terhadap Aliff Syukri

“Pihak JKM ada datang ke pejabat kami tapi saya dan isteri tiada ketika itu kerana sibuk, jadi tak sempat nak jumpa. Polis juga ada hubungi saya dan bertanyakan beberapa perkara mengenai laporan mendera anak itu.

“Memandangkan mereka tak dapat bertemu harini (semalam), jadi kita sudah maklumkan kepada JKM untuk hubungi mereka semula nanti,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Aliff turut berasa pelik mengapa perkongsiannya itu dikecam teruk sehingga mendapat perhatian ramai kerana niatnya hanya mahu mendidik anak.

Bagaimanapun, Aliff turut membuat permohonan maaf jika tindakannya mendidik anak itu kurang disenangi oleh sesetengah pihak serta menjelaskan beliau tiada niat langsung untuk mendera anak perempuannya itu.

“Apa-apa pun, saya nak mohon maaf jika video itu membuatkan ada pihak rasa kurang senang dan percayalah tak ada niat nak mendera anak.

“Pada mulanya, saya muat naik video itu sebab merancang nak keluarkan produk krim untuk badan tapi jadi lain pula bila ia tular,” katanya.