Selebriti popular yang sering dikaitkan dengan kontroversi, Jimmy Shanley masih belum bersedia berterus terang mengenai status dirinya kini sama ada dia bergelar suami orang atau bukan.

“Doa-doakan. InsyaAllah. Hidup saya sekarang lebih teratur…”, kata Jimmy Shanley lantas terus mematikan kata-katanya, ketika ditemui pada majlis pelancaran radio Ultra.FM bertempat di hotel Concorde, Kuala Lumpur, semalam.

Pemilik nama sebenar Jimmy Shanley Norhajan Saleh ini berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai laporan sebuah akhbar mendakwa dia sudah pun berkahwin dengan seorang janda beranak satu.

“Cerita saya sudah berkahwin seperti yang dilaporkan, bukan datang dari mulut saya. Tunggulah bila masanya nanti saya akan beritahu. Yang penting, saya tak kahwin kat Siam”, ujarnya yang masih enggan mengesahkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, Jimmy berkata dia akan mengadakan satu sidang media dalam masa terdekat ini bagi menjelaskan segala spekulasi yang timbul.

“Saya akan buat sidang media tak lama lagi bagi menjawab segala persoalan. Lagipun banyak hati yang perlu dijaga”, ujarnya sambil cuba terus berahsia.

“Sekarang saya dah move on & saya rasa adalah lebih baik kalau saya ada keluarga baru. Yang baru ni lebih memahami dan dia seorang wanita bertudung”, katanya. (rtky/fr)