fbpx

Jericho Rosales Mahu Bulan Madu Sepuasnya Sebelum Timang Anak

Baru saja melangsungkan perkahwinan pada 1 Mei lalu pelakon popular dari Filipina iaitu Jericho Rosales memberitahu hidupnya kini bertambah bahagia sejak bergelar seorang suami.

Oleh kerana dia kini masih lagi dalam mood pengganti baru, tiada lain yang difikirkan oleh pelakon ini kecuali mahu menikmati percutian bulan madu bersama isteri tersayang, Kim Jones.

“Disamping sibuk dengan karier, saya dan isteri mahu menikmati kehidupan sebagai sepasang suami isteri terlebih dahulu”

“Kami juga merancang untuk berbulan madu sebanyak yang mungkin sebelum kami menimang cahaya mata. Untuk sesi pertama, kami akan ke beberapa negara Eropah iaitu pada Ogos depan,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Kusinero Cinta di Hotel The Royale Chulan, semalam.

Menurut pelakon yang sangat popular menerusi drama bersiri fenomena sikit masa dulu, Pangako Sa Yo, dia dan isterinya merancang mahu menimang anak dalam masa dua tahun lagi.

Serasi Berlakon Bersama Aaron Aziz, Tiz Zaqyah

Bercerita tentang drama Kusinero Cinta pula, ini merupakan kali kedua Jericho bersama bersama produksi di Malaysia selepas filem Bilut.

Kembali berpeluang bekerja dengan produksi Malaysia disifatkan sebagai satu penghargaan yang sangat besar apabila ada produksi yang yakin terhadap lakonannya untuk bergandingan dengan dua nama pelakon hebat iaitu Aaron dan Tiz Zaqyah.

“Selepas menerima tawaran daripada Global Station Sdn Bhd, saya terus cari menerusi Google nama Aaron dan Tiz. Sepanjang penggambaran, tidak sangka pula kami bertiga memiliki keserasian untuk berlakon bersama dan ini memudahkan saya untuk menjiwai watak sebagai Fredo,” katanya.

Kusinero Cinta mengisahkan Fredo Rivera (Jericho) jejaka dari Cebu, Filipina bercita-cita menjadi chef terkenal dan Edrinna (Tiz) pula bersama ibunya Datin Raudah ke Filipina untuk melawat cafe mereka di sana.

Mereka bertemu apabila Fredo menyelamatkan Edrinna dalam satu insiden dan membuatkan hubungan mereka menjadi akrab. Sementara itu, Syed Izmir (Aaron) yang merupakan kekasih Edrinna berminat dalam dunia masakan terpaksa meneruskan pengajian dalam bidang perniagaan untuk meneruskan legasi perniagaannya bapanya.

Drama 60 episod arahan Feroz Kadir ini akan mula ditayangkan 26 Mei ini di Mustika HD. (rtky/fr)