Kerajaan memberi jaminan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini tidak akan dibatalkan susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan negara, namun skala penganjuran serta lokasinya mungkin diubah bergantung kepada perkembangan cuaca dan keadaan semasa.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri hari ini mengambil maklum perkembangan jerebu termasuk keadaan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sarawak sebelum memutuskan supaya penelitian lanjut dilakukan.
Menurutnya, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mengadakan perbincangan bersama kementerian dan agensi berkaitan petang ini bagi menentukan bentuk penganjuran yang paling sesuai.
“KSN akan meneliti bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Meteorologi serta beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat keputusan.
“Ini berdasarkan anggaran dan unjuran keadaan cuaca bagi lima hingga enam hari akan datang, termasuk senario yang mungkin berlaku berhubung keadaan jerebu,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Fahmi berkata, antara perkara yang akan dipertimbangkan ialah sama ada sambutan kekal berlangsung di Dataran Putrajaya seperti dirancang, dipindahkan ke lokasi lain atau diteruskan dengan skala penganjuran yang berbeza.
“Ya, kita tidak akan batalkan tetapi sama ada skalanya berubah ataupun diubah lokasi. Kita tunggu hasil mesyuarat Tan Sri KSN petang ini,” ujarnya.
Fahmi berkata, penilaian itu turut merangkumi program Ambang Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Aspek kesihatan dan keselamatan turut menjadi pertimbangan memandangkan sambutan Hari Kebangsaan melibatkan kira-kira 1,500 pelajar sekolah menengah dari tiga negeri yang menyertai persembahan ‘human graphic’, katanya.
Dalam masa sama, kerajaan akan mengambil kira pandangan KKM dan KPM sebelum memuktamadkan sebarang keputusan, manakala penggunaan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sebagai penanda aras kepada perubahan pelaksanaan program belum diputuskan oleh Jemaah Menteri.
“Perkara ini tidak diputuskan dalam mesyuarat (Jemaah Menteri) tetapi kita akan ambil maklum daripada pihak KKM dan juga KPM,” katanya.
Fahmi berkata, keputusan mengenai skala dan lokasi sambutan akan dibuat selepas penelitian yang dipengerusikan KSN dengan mengambil kira unjuran cuaca serta perkembangan jerebu bagi tempoh lima hingga enam hari akan datang.