fbpx

Jelajah Suria Di Angsana Johor Bahru Mall Riuh Dengan Ribuan Peminat!

Lokasi pertama Jelajah Suria 2019 di Angsana Johor Bahru Mall pada Sabtu baru ini, riuh dengan kehadiran ribuan peminat dan pendengar setia SURIA FM.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya pertandingan Kutu Karoks yang menawarkan hadiah wang tunai dan hamper tajaan syarikat rakaman FMC.

Ternyata warga Johor mengambil peluang bersantai bersama geng-geng SURIA FM dengan membanjiri perkarangan pentas lokasi Jelajah Suria seawal jam 12 tengah hari, bagi mendaftarkan diri untuk turut serta menyertai aktiviti yang diadakan.

Bukan itu sahaja, sementara menunggu kehadiran penyampai-penyampai terkenal Suria seperti Issey, Cik Piah, Sharifah Shahirah, Tyzo, Suraya, DJ Lin dan penyampai jemputan Ain Sufiaa, pengunjung yang hadir turut menerima pelbagai hadiah istimewa daripada krew Suria Wheels dan wakil mStar Online menerusi kuiz soal jawab.

Tepat pada jam 3 petang, tepukan gemuruh mengiringi barisan penyampai-penyampai SURIA yang naik ke atas pentas untuk membuat persembahan.

Tambah menggamatkan lagi suasana apabila penyampai Team Pagi Suria, Issey turut mendendangkan lagunya, Alololo sebelum memperkenalkan barisan penyampai Suria yang lain.

Oleh kerana baru menimang cahaya mata, penyampai radio Fizi Ali tidak dapat turut serta dalam Jelajah Suria 2019 kali ini.

Namun begitu, video pesanan Fizi Ali buat pendegar setia Suria turut ditayangkan di skrin LED buat tatapan umum.

Konsert Jelajah Suria itu dimeriahkan lagi dengan persembahan artis-artis popular tanah air seperti Akim & The Majistret, Siti Nordiana, Tomok, Hazama, Hafiz Shuib, Amir Masdi, Adira, Gmie Screen, One Avenue Band dan juga artis baru seperti Muna Shahira dan Chubb-e.

Persembahan daripada Gmie Screen menjadi medan karaoke terbesar apabila hampir kesemua pengunjung yang hadir menyanyikan lagu ‘Bila Cinta di Dusta’ bersama-sama.

Aktiviti Jelajah Suria ini turut disiarkan secara langsung di radio Suria bermula jam 5 petang hingga 6 petang menerusi frekuensi SURIA di seluruh Semenanjung Malaysia.


Lokasi Jelajah Suria seterusnya adalah di Kuantan City Mall, Pahang pada 23 Mac ini.

Selain daripada dapat beramah mesra bersama semua penyampai Suria, anda juga akan dihiburkan dengan persembahan artis jemputan seperti Siti Sarah, Sufian Suhaimi, Nizam Laksamana, Nabila Razali, Adira, Amir Masdi, Kugiran Masdo, Fieya Julia dan Kucaimars.

Kaunter pendaftaran untuk pertandingan Kutu Karoks akan dibuka seawal jam 12.30 tengah hari dan anda boleh memenangi sebahagian daripada hadiah wang tunai berjumlah RM500!

Jadi kepada anda jangan lepaskan untuk rebut peluang menangi hadiah lumayan dari team SURIA FM. Maklumat lanjut layari laman rasmi Suria ataupun menerusi Facebook, Instagram & Twitter SuriaFMMalaysia.