fbpx

JDT ‘ Mengaum’ Di Alor Setar

Skuad Helang Merah terpaksa akur menerima kekalahan daripada juara Liga Super 2018, JDT, apabila dibelasah 1-2 oleh pihak lawan di Stadium Alor Setar, sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah yang mula menunjukkan aksi garang pada minit keenam terpaksa akur dengan tindakan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, yang gagal melakukan sentuhan hebat hasil hantaran kemas Andik Vermansyah di hadapan pintu gol lawan.

Bagaimanapun pasukan JDT berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu pada minit ke-21 menerusi jaringan hebat pemain import Gonzalo Gabriel Cabrera, selepas menerima hantaran daripada Fernando Marquez.

Suasana bertambah meriah dengan sorakan penyokong Harimau Selatan, apabila sekali lagi JDT ‘mengaum’ pada minit ke-38 hasil tandukan Fernando Marquez yang tidak dikawal selepas mendapat hantaran Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Di babak kedua, pasukan Kedah bagaimanapun berjaya mengejar rapat pihak lawan dengan cubaan sepakan penalti daripada Paulo Rangel selepas Rizal Ghazali dijatuhkan Corbin Ong, tetapi sepakan Paolo Rangel diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias pada minit ke-64.

Skuad Helang Merah kemudian bangkit memecah kebuntuan apabila berjaya meledak gol pada minit ke-78 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Sandro Da Silva.