fbpx

Janna Nick Hidap Bipolar, Dua Kali Cuba Bunuh Diri

Selepas beberapa minggu menyepi dan berehat daripada media sosial, Janna Nick memuat naik kenyataan mengejutkan bahawa dia menghidap penyakit bipolar.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Janna berkata dia kini sedang menjalani rawatan dengan mengambil dua jenis ubat atas nasihat doktor bagi merawat masalah kemurungan.

BACA: Lama Menghilang, Kekasih Maklum Janna Nick Sedang Berehat Dari Media Sosial

Janna berkata dia menyangkakan selama ini suara-suara dalam yang bermain di fikirannya adalah perkara normal namun dia hanya menyedari selepas mendapatkan rawatan.

“Selama ini, saya fikir otak saya berfungsi dengan normal, sama seperti orang lain. Saya memang ingat semua orang ada lebih dari 3/4 suara di kepala mereka.

“Saya memang ingat bahawa ia normal bagi suara dalaman untuk terus bercakap antara satu sama lain sehingga saya mula mengambil ubat dan sedar,” tulisnya.

Dalam pada itu, Janna turut berkongsi pengalaman silamnya ketika berusia lapan tahun dan mendedahkan pernah dua kali cuba untuk membunuh diri.

“Pada usia 8 tahun, saya pernah mahu mati. Sepak teranjang memang makanan saya sejak pertama kali saya ingat. Saya cuba bunuh diri ketika berusia 14 tahun dengan menelan segenggam panadol yang dicampurkan dengan ubat lain.

“Percubaan bunuh diri kedua adalah setahun selepas itu. ketika itu saya sedang menduduki PMR, saya memotong pergelangan tangan sendiri di hadapan adik perempuan saya,” katanya.

Perkongsian Janna itu ternyata mengejutkan rakan artis dan netizen yang bersimpati di atas apa yang berlaku serta memberikan kata-kata semangat agar pelakon itu terus kuat.