Berikutan kontroversi rumah tangganya diganggu pihak ketiga, ada segelintir pihak menyifatkan tindakan Datin Elvina Mohamad yang berkongsikan hal rumah tangga kepada umum seolah mahu meraih populariti. Bagaimanapun, Elvina menegaskan tindakannya itu merupakan salah satu cara untuk menyelamatkan rumah tangganya.
BACA: Elvina Mohamad Padam Gambar Kahwin, Suami
“Saya bukan mahu meraih populariti dengan membuka aib rumah tangga sendiri tapi ini usaha saya untuk menyelamatkan perkahwinan kami. Saya terpaksa memberikan peringatan kepada wanita di luar sana agar tidak mengganggu rumah tangga orang menerusi instagram milik saya.
“Wanita terbabit sudah tahu Haniff beristeri dan baru saja menimang cahaya mata. Dan saya masih dalam pantang, dia tidak patut bermesej sehingga menimbulkan syak wasangka,” katanya kepada Harian Metro.
Berang apabila wanita tersebut yang juga merupakan seorang agen insuran mengeluarkan kenyataan bahawa suami Elvina ada mengatakan pelakon itu bertindak sedemikian kerana meroyan ketika dalam pantang, Elvina turut memberikan peringatan.
“Jangan mudah melabel wanita sedang berpantang meroyan. Itu sangat negatif. Saya masih boleh berfikir secara waras. Mana yang betul dan mana yang salah,” katanya.
Dalam pada itu, Elvina berkata dia dan suami sudah pun berbincang mengenai segala permasalahan secara baik. Kata Elvina lagi, dia turut menegur sikap suaminya dan tidak menyalahkan pihak disebelah sana sahaja.
Sebelum ini, suaminya, Datuk Haniff Borhan sudah pun mengeluarkan kenyataan mengakui kekecohan yang berlaku berpunca darinya sendiri dan membuat permohonan maaf.