Usahawan sensai, Datuk Seri Vida meminta netizen tidak mengaitkan dirinya dengan isu tuntutan hadiah tanah lot banglo melibatkan juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Datuk Aishah.

Memetik Utusan Online, Vida berkata dia tidak mempunyai kaitan dengan isu tersebut serta memberitahu ianya melibatkan penaja lain.


BACA: Aishah Terkilan Hadiah Tanah Lot Banglo Masih Belum Diterima Sejak 2017

“Apa pasal ya? Asal Aishah buat tuntutan saja orang cari saya? Apa hal ini? Saya pun jadi hairan. Rasanya ramai sudah keliru ini. Saya tak ada kaitan pun dengan penajaan berupa sebidang tanah semasa menjayakan program GV4 itu.

“Penaja yang terlibat difahamkan merupakan sebuah syarikat peneraju perumahan. Sebelum ini pun, isu antara saya dengan Aishah membabitkan tajaan hadiah barangan kemas. Tetapi, hal itu pun sudah lama selesai.

“Jadi, saya harap, jangan kaitkan dengan saya tentang hadiah tanah itu. Saya tiada kaitan. Jangan menganiaya saya,” katanya.


Dalam pada itu, Vida mengakui isu salah faham pemberian hadiah barangan kemas itu memberi kesan pada perniagannya hingga terjejas teruk.

“Waktu itu memang terjejas teruk. Bukan tahap jatuh terduduk, tapi terlentang, terguling sebab orang fitnah saya jual barang kemas palsu.

“Untuk saya bangkit kembali, bukan senang. Tapi, saya yakinkan diri untuk bangun semula di sebalik segala yang terjadi,” katanya.

Baru-baru ini, Aishah meluahkan rasa kecewa apabila hadiah tanah lot ketika memenangi Gegar Vaganza musim keempat belum diterima lagi. Aishah turut mempersoalkan dia sudah menunggu hampir lima tahun untuk menyelesaikan isu tersebut hingga naik ke mahkamah.