Pelawak Yassin Yahya akhirnya pulang ke tanah air selepas enam bulan di tahan di Jeddah selepas disyaki membawa barang peribadi yang mempunyai lambang mencurigakan ketika tiba di negara berkenaan.
Yassin ditahan sebaik tiba di Jeddah kerana memiliki sekotak rokok bersama kertas pembalut, ‘grinder’ (pengisar) yang mempunyai lambang daun terlarang.
BACA: “8 Hari Saya Tidur Berdiri Dalam Lokap”
Sementara itu, memetik Harian Metro, Yassin berkata pihak Konsulat Malaysia turut memintanya untuk menyampai pesanan kepada rakyat kita supaya berhati-hati dan tidak membawa barangan yang mempunyai lambang pelik.
“Memang ia kesilapan saya. Undang-undang di sana pula amat ketat. Jadi saya nasihatkan agar rakyat Malaysia ambil tahu apa yang dilarang sebelum pergi ke sana.
“Negara orang kan. Ada yang boleh dan ada yang tak boleh. Kalau boleh saya nak cakap, hati-hatilah. Jangan bawa barang yang ada lambang yang pelik-pelik dan mencurigakan.
“Tak kiralah barang, baju atau apa sahaja. Nanti tak pasal-pasal anda akan kena seperti apa yang saya lalui. Nak bagi penjelasan pun susah kerana mereka tak faham bahasa asing termasuk Inggeris. Jadi kenalah ikut mereka bawa sehingga berlaku seperti yang terjadi kepada saya,” katanya.
Dalam pada itu, Yassin mengakui terkilan kerana tidak tahu punca sebenar dia ditahan serta mempersoalkan takkan kerana lambang punca penahanannya.
“Saya tak tahu. Kalau di Malaysia sekurang-kurangnya ada lah pertuduhan. Sekurang-kurangnya bagilah satu, dua pertuduhan. Jadi adalah alasan untuk saya cerita. Saya tak tahu nak cakap apa kalau orang tanya sebabnya. Takkanlah pasal lambang itu semata-mata,” katanya.
SUMBER: Harian Metro