Penyanyi Datuk Jamal Abdillah selamat menimang cahaya mata ketujuh di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, pukul 9.38 pagi tadi.
Memetik Kosmo, Jamal memaklumkan isterinya Datin Zai Izzati Khiruddin selamat melahirkan bayi perempuan diberi nama Magdalena Yamani seberat 2.9 kilogram secara pembedahan.
BACA: Jamal Abdillah Rasa Belum Layak Terima Biduan Negara
“Alhamdulillah, pembedahan semua berjalan lancar, anak dan isteri kedua-duanya okey. Saya sangat bersyukur Allah beri kami rezeki ini,” katanya.
Menerusi perkongsian di media sosialnya itu, Jamal turut memuat naik video sedang melaungkan iqamat buat puteri bongsunya itu.
Untuk rekod, Jamal dan Zai mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017. Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Azura Yamani, 5; El Isaac Yamani atau Zack, 4; Iskandar Rayyan Yamani, 3 dan Rahil Laura Salsabila Yamani, setahun.
Menerusi perkahwinan terdahulu Jamal dikurniakan dua anak lelaki yang juga penyanyi, Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.
SUMBER: Kosmo