fbpx

Jackie Chan Akui Masih Kekok Dipanggil Datuk

Baru sahaja menerima gelaran Datuk 1 Februari lalu, bintang aksi antarabangsa dan pelakon Hong Kong terkenal, Datuk Jackie Chan mengakui masih kekok dan belum membiasakan diri dengan panggilan tersebut terhadap dirinya.

BACA: Jackie Chan Dikurniakan Gelaran Datuk

Bercakap pada sidang media filem terbarunya Dragon Blade, Chan atau nama sebenarnya Chan Song Kang, 60, memberitahu sejak menerima gelaran ‘Datuk’ pada minggu lalu, beliau berasa janggal apabila mendengar orang mula menyapanya dengan panggilan tersebut.

“Sejak saya terima gelaran ini, saya hampir terlupa yang saya ada gelaran ini. Saya berasa janggal bila orang mula memanggil saya Datuk sebab selama ini ramai orang biasa panggil ‘taiko’ (abang)”

“Pagi tadi ketika tiba di sini, semua menyapa saya dengan panggilan Datuk dan kemudian baru tersedar rupanya saya dapat gelaran ini”

“Berilah saya masa dalam sebulan dua lagi untuk membiasakan diri dengan panggilan ini,” katanya pada ketika pelancaran filem terbarunya Dragon Blade, di Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum memulakan ucapannya, pelakon berusia 60 tahun ini sempat mencuri perhatian wakil media tempatan dengan memberi salam dan bertutur dalam Bahasa Malaysia. (rtky/syfq)