fbpx

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd terus meraikan ulang tahun syarikat yang ke-30 dengan persembahan teater komuniti amal, ‘Najis Jadi Teman’, pada 22 Jun 2024 di Dewan Merbau, di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, satu usaha sama dengan Wayang Kitchen dan Yayasan Chow Kit (YCK).

‘Najis Jadi Teman’ membawa penonton menelusuri perjalanan dan cabaran prosesrawatan kumbahan yang penting, namun sering dilupakan. Melalui gabungan unik teater, tarian, dan muzik, produksi ini meneroka peranan mencabar dan kritikal pekerja loji kumbahan, yang sering digambarkan sebagai kotor, sukar dan berbahaya, di samping menekankan pentingnya sanitasi yang betul untuk kesihatan awam dan pemeliharaan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Encik Narendran Maniam berkata, “Adalah menjadi keutamaan kami untuk sentiasa menyokong mereka yang memerlukan sambil mendidik orang awam tentang pentingnya pengurusan kumbahan yang cekap demi melindungi dan memelihara alam sekitar.”

Narendran menambah, pertunjukan ini bukan sahaja meraikan tiga dekad perkhidmatan dan dedikasi IWK tetapi juga berfungsi sebagai satu cara untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, serta membuktikan sokongan IWK terhadap komuniti setempat.

“Kebanyakan kerja-kerja kami di IWK beroperasi di belakang tabir, dan sering tidak disedari, namun amat penting dalam pemeliharaan kesihatan awam dan alam sekitar. Dalam kami meraikan ulang tahun ke-30 syarikat, kami teruja untuk menunjukkan komitmen kami terhadap kesejahteraan rakyat secara amnya melalui kolaborasi bermakna dan kreatif seperti teater amal ini,” katanya.

Malam pembukaan bagi ‘Najis Jadi Teman’ pada 21 Jun 2024 turut dihadiri Pengerusi IWK, YB Tuan Hj Ahmad Johnie Hj Zawawi; Pengasas YCK, Dato’ Dr Hartini Zainudin dan Patron yang juga Pemegang Amanah YCK, YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tunku Muhriz.

Pengarah produksi teater ini adalah pengiat teater terkenal, Razif Hashim, dan turut menampilkan bakat-bakat besar tempatan seperti penyanyi-penulis lirik Atilia Haron, pelakon Phraveen Arikiah, dan Alfred Loh sebagai pemegang watak utama.

Turut menyertai persembahan teater ini adalah bakat-bakat cilik dari YCK, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) tempatan yang berdedikasi untuk menyokong kanak-kanak dan remaja yang berisiko di kawasan Kuala Lumpur.

Produksi ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kesihatan awam serta mengumpul dana bagi mendokong aktiviti harian YCK.

Penonton merasai pengalaman yang menghiburkan dari pelbagai aspek, serta ianya juga menampilkan lagu-lagu menarik dan aktiviti interaktif yang menjanjikan bukan sahaja hiburan tetapi peluang untuk menyumbang. Semua hasil jualan tiket yang berharga RM100 setiap tiket itu disalurkan kepada YCK.