Bulan lalu hangat diperkatakan apabila beberapa artis memohon bantuan khas daripada kerajaan khusus untuk penggiat seni yang terjejas pendapatan ketika PKP sekaligus mengundang kecaman hebat daripada netizen.
Malah, Nabil Ahmad juga turut terkena tempiasnya apabila pengacara itu mengatakan luahan Black Hanifah dan Tomok bukan untuk diri mereka tetapi tetapi penggiat seni lain serta kru-kru yang terlibat dengan industri hiburan yang terkesan akibat PKP.
BACA: “Mohonlah Bantuan Macam Rakyat Biasa Yang Lain, Perlu Ke Ada Dana Spesifik?”
Bagaimanapun, Nabil berkata kontroversi itu menjadi titik tolak untuk dia memperbaiki tahap keimanan dalam diri. Malah, pengacara itu juga mengakui apa yang berlaku itu sebagai pengajaran terbesar dalam hidupnya.
“Saya sudah lama menerima hakikat bahawa kontroversi adalah sebahagian daripada kerjaya sebagai anak seni. Selagi bergelar artis, sampai bila-bilalah saya kena hadap perkara ini. Cuma apa yang saya nampak, kontroversi itu mendidik saya untuk lebih dekat dengan Tuhan dan al-Quran.
“Sebenarnya, saya bersyukur dengan isu yang tercetus itu. Secara tidak langsung, ia menjentik kesedaran dalam diri ini. Menurut seorang ustaz, jika kita seronok dengan pujian yang diberi dan kecewa dengan penghinaan, itu maknanya tahap keimanan kita masih lemah.
“Kenyataan itu bagaikan suatu tamparan buat saya. Ternyata, insiden itu mengubah perspektif saya untuk tidak terus hanyut dengan pujian dan rasa gundah apabila dikecam,” katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Nabil turut meluahkan rasa syukur rezekinya tidak pernah putus meskipun industri hiburan terkesan susulan penularan wabak COVID-19.
“Saya percaya dengan konsep bersedekah. Lagi banyak kita memberi, insya-Allah akan ada rezeki lain Tuhan bagi. Alhamdulillah, jadual kerja saya sangat padat walaupun dalam tempoh PKP.
“Malah, setiap hari sehinggalah hari kelapan Aidilfitri, ada sahaja program yang perlu dijayakan,” katanya.
Terdahulu, Nabil memberikan pendapatnya mengenai bantuan untuk artis dimana dia berkata apa yang dibimbangkan adalah mereka yang bekerja di belakang tabir kerana tiada yang membantu.
Nabil turut mengharapkan agar Persatuan Seniman meminta bantuan atau peruntukan daripada pihak kerajaan bagi membantu penggiat seni yang terjejas sepanjang tempoh kuarantin ini.