fbpx

“Isteri Dah Lalui Macam-Macam, Saya Rasa Sangat Bersalah”

Sejak timbul kekecohan mengenai isu rumah tangganya, Aliff Aziz dilihat tidak memberikan sebarang komen, malah sebelum ini meminta agar diberi ruang untuk berbincang dengan keluarga sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.

Bagaimanapun, malam tadi menerusi sesi video live di Instagram, Aliff tampil membuat permohonan maaf berhubung isu tersebut dan mengakui semua yang terjadi adalah salahnya serta dirinya menjadi punca pada semuanya.

BACA:“Saya Tidak Akan Sesuka Hati Ikut Emosi Post Tanpa Bukti”

“Setiap kesalahan yang terjadi ada punca. Dalam kes saya, saya mengakui menjadi punca kepada semuanya. Perkara sebenar pun sudah terbukti.

“Jadi, saya ingin memohon maaf kepada semua. Bagi saya perlu untuk akui jika ia memang salah,” katanya seperti dipetik daripada Harian Metro.

Dalam pada itu, Aliff memberitahu dia kesal di atas tindakannya itu dan rasa bersalah terhadap Bella kerana sering memberikan masalah kepada isterinya itu. Katanya lagi, dia sedang cuba membetulkan semula keadaan dan masalah rumah tangganya.

“Isteri saya sudah lalui macam-macam. Saya memberikan masalah kepadanya. Saya berasa sangat bersalah terhadapnya.

“Saya kesal atas apa yang terjadi dan saya tidak mahu nafikan kesalahan saya. Setiap manusia pasti buat salah. Dalam kes saya, diakui ia memang berpunca daripada saya. Nak caci, maki dan hamun saya silakan. Cuma, jangan komen apa yang anda tidak tahu.

“Soal hubungan dan rumah tangga saya dengan isteri, biar saya yang selesaikan. Banyak perkara yang perlu dibuat dan diperbetulkan. Kesilapan saya pada Allah, biar saya uruskan. Kesalahan saya pada ibu bapa, itu tanggungjawab saya,” katanya.