fbpx

Meskipun sudah lima bulan pemergian anaknya yang sempat dipinjamkan Tuhan hanya seminggu, vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat berkata dia dan isterinya, Nazira Muhammad masih terkenangkan arwah anaknya.

Menurut Azmi, meskipun sudah menerima ketentuan takdir, namun sebagai manusia biasa mereka tidak mampu menahan sedih dan emosi ada kalanya datang.

BACA: Azmi Saat Syukur Isteri Dah Tak Mengigau Teringat Arwah Anak

“Saya paling kasihankan isteri.Ada ketika bila emosi sedih itu datang, tiba-tiba saya dengar dia menangis di bilik air. Tak ada apa yang boleh saya katakan lagi melainkan sabar.

“Sampaikan dia tak boleh dah nak dengar perkataan sabar itu. Tapi saya alan tetap tenangkan dia dan peluk dirinya,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, isterinya akan terkenang arwah anak mereka apabila melihat mana-mana anak kecil di depan mata atau media sosial.

“Dengar suara anak orang pun adakala dia akan sebut, alangkah seronoknya kalau ada anak. Ada terbaca kisah anak orang yang meninggal dunia di Facebook atau di media sosial, dia akan rasa termotivasi sekejap.

“Begitulah keadaan dia. Maklum sajalah, sejak 10 tahun berumah tangga ini, kami jarang ada masalah besar. Kehilangan anak ini adalah yang paling besar ujian kami hadapi,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata dia dan isteri tidak pernah berputus asa untuk terus berusaha mendapatkan cahaya mata serta percaya kepada Allah.

“Saya pun pernah juga tanya isteri jika nak ambil anak angkat. Tapi dia kata belum bersedia. Dia nak cuba juga dapatkan zuriat sendiri.

“Kalau ambil anak angkat, kemudian dikurniakan zuriat sendiri, bimbang tak dapat bahagi kasih sayang dengan sempurna,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu menimang cahaya mata lelaki diberi nama Khairul Afnan pada 27 September lalu selepas 10 tahun menanti. Bagaimanapun, selepas seminggu cahaya mata mereka disahkan meninggal dunia akibat kegagalan fungsi otak.