fbpx

Azmi Saat Syukur Isteri Dah Tak Mengigau Teringat Arwah Anak

Sudah lebih sebulan pemergian anak sulungnya, penyanyi Azmi Saat lega isterinya, Nazira Muhammad tidak lagi mengigau ketika tidur kerana teringatkan anak mereka.

Menurut Azmi, perasaan sedih itu masih dirasai isterinya tetapi kini semakin stabil. Ujarnya, ada ketika isterinya menangis juga kerana rindukan arwah anak mereka.

BACA: Azmi Saat Risau Isteri Selalu Mengigau, Menangis Rindukan Arwah Anak

“Cuma, saya berasa lega kerana Nazira tidak lagi mengigau ketika tidur dan tiba-tiba menangis pada waktu malam teringatkan arwah anak kami. Sekarang, keadannya boleh dikata semakin baik dan stabil.

“Walaupun dia masih belum betul-betul boleh melupakan saat-saat indah bersama cahaya mata kami, tapi Nazira tetap kuat dan tabah. Malah, saya sentiasa memberi semangat kepadanya.

“Saya sedar kena kuat untuk isteri dan syukur alhamdulillah kami reda dengan ketentuan takdir ini. Namun, masih perlukan masa untuk mengubat kesedihan hati,” katanya.

Memohon didoakan kekuatan buat isterinya, Azmi berkata dia merancang untuk menghasilkan lagu istimewa buat arwah anaknya, Khairul Afnan.

“Selain terus mendoakan Afnan, saya juga ada merancang menghasilkan lagu istimewa buat arwah anak yang melodinya dihasilkan oleh Ajai, manakala lirik ditulis Ahmad Fedtri Yahya.

“Alhamdulillah, saya suka dengan melodi dan lirik dihasilkan itu kerana sangat sesuai dengan cerita saya. Malah, semoga lagu ini akan diterima baik oleh pendengar nanti,” katanya.

Terdahulu, anak Azmi Saat meninggal dunia selepas tiga hari dilahirkan pada 27 September lalu akibat kegagalan fungsi otak yang dikesan selepas lahir.