fbpx

Isteri Achey Usaha Jadi Ibu Susuan Anak Angkat

Nur Tiara, itulah nama anak anak angkat Achey dan juga isteri, Nor Hasanah Yahaya. Ketika ini, isteri Achey sedang dalam proses menjadi ibu susuan kepada anak angkat mereka itu yang berusia dua bulan. Tiara diambil menjadi anak angkat pasangan ini pada 6 Ramadan yang lalu.

BACA: 8 Tahun Kahwin, Achey & Isteri Ambil Anak Angkat

“Alhamdulillah selepas mendapat pandangan daripada keluarga dan ahli agama kami sepakat untuk jadikan dia anak susuan agar tak timbul soal mahram apabila dia dewasa kelak. Sekarang masih dalam proses dan Alhamdulillah Allah pun permudahkan proses itu untuk isteri saya,” kongsinya kepada mStar Online.

Tambah Achey, Tiara sah menjadi anak angkat mereka dari segi undang-undang selepas membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM).

Sementara itu bagi isteri Achey, ia merupakan pengalaman baru buat mereka dan katanya, Achey adalah seorang suami yang sangat ringan tulang dan sentiasa membantu dia menguruskan anak.

“Kalau Tiara terjaga malam, Achey yang bangun tukar lampin, buat susu… Alhamdulillah dia sangat membantu. Dari situ juga kami sama-sama dapat belajar kerana tidak pernah ada pengalaman tetapi semuanya dipermudahkan dan ramai membantu dalam memberi tip keibu-bapaan,” ujarnya. (rtky/s)