Kalau korang rasa Ipoh dah cukup banyak tempat untuk shopping dan lepak, nampaknya kena tunggu satu lagi destinasi baharu yang bakal meriahkan bandar ni! Sunway Ipoh Mall dijadualkan membuka pintunya pada suku keempat 2027 dan paling menarik, pusat beli-belah ini dah pun mencapai kadar sewaan sebanyak 80% walaupun belum dibuka secara rasmi.
Dengan nilai pembangunan mencecah RM1 bilion, Sunway Ipoh Mall bakal menjadi antara tarikan baharu yang menggabungkan shopping, makanan, hiburan dan aktiviti riadah dalam satu tempat. Memang nampak macam destinasi yang boleh buat korang habiskan masa seharian tanpa perlu fikir nak pergi mana lagi!
400 Kedai, Banyak Jenama Popular Bakal Masuk!

Bukan calang-calang projek, Sunway Ipoh Mall bakal menampilkan empat tingkat ruang peruncitan dengan kira-kira 400 lot kedai. Lebih menarik, sekitar 100 jenama dijangka membuat penampilan sulung di Perak menerusi pusat beli-belah ini.
Antara jenama yang bakal menyertai Sunway Ipoh Mall termasuk MUJI, UNIQLO, JD Sports, LC Waikiki, Padini, Popular, Harvey Norman, Brands Outlet, HOOGA dan banyak lagi.
Bagi peminat fesyen pula, UNIQLO bakal membuka cawangan terbesarnya di Perak di sini. Selain itu, pengunjung juga boleh menantikan kehadiran jenama kecantikan dan gaya hidup seperti Estée Lauder Companies, L’Oréal Group serta Valiram Group.
Antara penyewa utama yang turut diumumkan ialah Parkson Elite, Village Grocer, TGV Cinemas, Mr. D.I.Y. Plus dan beberapa lagi jenama yang bakal melengkapkan pengalaman membeli-belah pengunjung.
Bukan Setakat Shopping, Siap Ada Gelanggang Ais Pertama Di Perak!

Kalau korang jenis cepat bosan berjalan dari satu kedai ke satu kedai, jangan risau sebab Sunway Ipoh Mall turut menawarkan pelbagai pilihan hiburan dan aktiviti riadah.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah gelanggang luncur ais pertama di Perak. Jadi, korang tak perlu tunggu bercuti ke tempat lain semata-mata nak menikmati aktiviti ice skating!
Bukan itu sahaja, pusat beli-belah ini juga bakal menampilkan pusat boling dengan 36 lorong, kemudahan sukan pelbagai guna serta pawagam 10 dewan yang mampu menempatkan kira-kira 1,500 pengunjung.
Lebih menarik, sebuah pusat pameran turut disediakan untuk pelbagai acara dan aktiviti. Pendek kata, sama ada nak keluar bersama kawan-kawan, luangkan masa dengan keluarga atau sekadar mencari aktiviti hujung minggu, semuanya bakal tersedia di satu lokasi.
Ada ‘Gourmet Garden’ Untuk Korang Yang Suka Hunting Makanan
Shopping memang seronok, tapi kalau dah penat berjalan, mestilah nak cari makanan pula!
Sunway Ipoh Mall bakal menampilkan ‘Gourmet Garden’, iaitu ruang makan dalaman dan luaran yang direka dengan suasana menghijau serta pemandangan yang diinspirasikan oleh landskap batu kapur Tambun.
Konsep ini dijangka memberikan pengalaman menjamu selera yang berbeza, terutama buat korang yang suka mencuba tempat makan baharu dengan suasana menarik.
Bayangkan boleh shopping, tengok wayang, main boling dan sambung makan bersama keluarga atau geng sendiri tanpa perlu berpindah ke lokasi lain. Memang sesuai untuk rancangan hujung minggu!
Lokasi Strategik, Boleh Jadi Port Singgah Pengembara

Satu lagi perkara menarik tentang Sunway Ipoh Mall ialah lokasinya yang terletak kira-kira lima minit dari Lebuhraya Utara-Selatan melalui susur keluar Tambun.
Disebabkan kedudukannya yang strategik, pusat beli-belah ini turut dirancang sebagai destinasi persinggahan generasi baharu untuk pengembara antara negeri.
Maksudnya, korang yang sedang dalam perjalanan jauh juga berpeluang singgah untuk makan, membeli-belah atau berehat sambil menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.
Dari segi parkir pula, Sunway Ipoh Mall bakal menyediakan sebanyak 2,950 petak parkir, termasuk 100 petak pengecasan kenderaan elektrik (EV). Jadi, kemudahan untuk pengunjung turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian.
Sebahagian Daripada Pembangunan Besar Sunway City Ipoh

Untuk pengetahuan korang, Sunway Ipoh Mall merupakan sebahagian daripada pembangunan bandar bersepadu Sunway City Ipoh yang meliputi kawasan seluas 1,350 ekar.
Kawasan ini turut menempatkan beberapa tarikan sedia ada seperti Lost World of Tambun, The Banjaran Hotsprings Retreat, Sunway Medical Centre Ipoh dan Sunway College Ipoh.
Malah, perancangan pembangunan akan datang turut merangkumi Sunway University, sebuah hotel baharu serta pusat konvensyen.
Dengan gabungan pusat beli-belah, tarikan pelancongan, penginapan, pendidikan dan kemudahan kesihatan, Sunway City Ipoh dilihat berpotensi menjadi destinasi yang lebih lengkap untuk penduduk tempatan serta pelawat dari luar Perak.
Menurut Sunway Malls, kadar sewaan Sunway Ipoh Mall yang sudah mencapai 80% sebelum pembukaan mencerminkan minat yang tinggi terhadap projek ini. Pusat beli-belah tersebut dijangka terus memperkukuh kehadiran Sunway Malls di wilayah Utara Malaysia.
Jadi, nampaknya korang kena masukkan Sunway Ipoh Mall dalam senarai tempat yang nak diterokai dah buka nanti. Dengan pelbagai jenama popular, gelanggang ais, pusat boling dan pilihan makanan yang bakal ditawarkan, memang banyak benda yang boleh dinantikan menjelang 2027!