Selepas sehari berdiam diri apabila dikecam teruk susulan tindakannya memuat naik staus sindiran mengenai angka kes positif Covid-19, penyanyi Iman Troye akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka.
Memuat naik kenyataan maaf menerusi Instagram, Iman berkata dia menyedari kesilapannya itu dan tiada niat untuk menyakiti hati mana-mana pihak.
BACA: Sharnaaz Ahmad Bengang Dengan Iman Troye
“Saya ingin mohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan. Saya mula sedar kesilapan ini selepas memuat naiknya. Ciapan itu sangat mengelirukan dan saya mengakui perkara itu.
“Apa yang saya lakukan tidak sensitif. Saya sepatutnya lebih peka berkaitan hal ini. Saya tiada niat untuk menyakiti hati mana-mana pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Iman berkata apa yang berlaku merupakan pengajaran untuk dirinya dan berterima kasih kepada semua pihak yang menegur.
“Saya ingin mohon maaf. Insya-Allah saya akan belajar daripada kesilapan ini. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Terima kasih kepada semua yang menegur. Saya akan cuba jadi lebih baik, Insha-Allah,” katanya.
Terdahulu, Iman dikecam teruk apabila memuat naik status seolah meraikan bilangan kes Covid-19 mencecah 7,000. Bagaimanapun, selepas beberapa jam memuat naik status itu, Iman dilihat menyahaktif akaun Twitter miliknya.