fbpx

Ibu Dedah Neelofa Anak Luar Biasa, Jarang Tunjuk Air Mata

Perkongsian Insta Story ibu kepada selebriti terkenal, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini menjadi perhatian ramai apabila berkongsikan keperibadian anak kesayangannya itu.

Menurut Kartini, anaknya itu seorang yang sentiasa menguatamakan keluarga serta sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan bukan seorang yang mudah lupa diri.

BACA: Neelofa Kongsi Cerita Detik Jatuh Cinta Dengan PU Riz Selepas Jadi Imam Solat Tarawih

“Lofa ni kalau mama boleh gambarkan dia sangat istimewa. Tiga sikap buat dia berjaya, dia sangat jaga ibu bapa, khidmat dia pada mama, dia percaya reda ibu bapa.

“Dari dulu Lofa ada sikap mahu majukan diri. Lofa memang sentiasa mahu improve, dia yakin apa pun terjadi sebab itu walau apa ujian kita nampak dia tenang.

“Bila dia berjaya, dia selalu ingat dari mana dia mula dan macam mana dia mula. Lofa juga tak akan lupa adik beradik dan tak pernah berkira,” tulisnya.

Dalam pada itu, Kartini berkata Neelofa juga selalu menghubunginya untuk memohon doa dan keberkatan walaupun jika ada urusan kerja di luar negara.

“Kalau dia kat luar negara ada event ke apa-apa walau berbeza masa dia mesti akan contact mama minta doa. Jadi mama malam selalu akan terus mengaji dan doa untuk Lofa.

“Macam dulu masa dia pengacara MeleTOP nak masuk set pun dia akan beritahu mama. Setiap kali habis saja program, masuk kereta benda pertama dia akan buat adalah hubungi tanya mama punya respons.

“Setiap apa dia buat mesti akan tanya mama walau dah besar. Ada sekali itu mama tegur sesuatu. Dia jawab ‘okay ma love akan ubah’,” katanya.

Bagaimanapun, Kartini berkata kasih sayang terhadap anak-anak bukan hanya untuk Neelofa seorang tetapi kesemua anak-anak.

“Bagi mama, anak yang bernama Lofa ini sangat luar biasa. Kekuatan dia, kegigihan dia, pengorbanan dia… air mata dia jarang orang nampak. Kita semua boleh tengok jihad dia melawan diri dia sendiri ketika di puncak. Dia berhijrah dan mengaji agama dari mula, panggil ustaz, tak pernah berhenti perbaiki diri.

“Mama tahu setiap satu yang Lofa lakukan hari ini tak mudah untuk Lofa. Tapi Allah hadiahkan Lofa rumah tangga yang bahagia, suami yang baik bukti kekuasaan Allah asbab kebaikan yang Lofa buat selama ini.

“Mama cuma nak Lofa selalu kuat untuk mama. Mama akan terus berjuang bersama Lofa dan anak-anak lain. Mama bukan sayang dia seorang, semua anak-anak mama, mama sayang. Cuma mungkin sebab Lofa paling orang kenal,” katanya.