fbpx

Huntonglah! Pelajar Tahfiz STAY ATM Dapat Duit Raya Dari Ismail Sabri

Baru-baru ini Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkesempatan berbuka puasa dan menyantuni para pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi.

Seramai 85 pelajar termasuk empat anak yatim daripada sekolah tersebut diraikan dan menerima sumbangan Ramadan daripada pihak Kementerian dan ATM.

Ismail Sabri juga turut memberikan sumbangan peribadi kepada pihak sekolah bagi pembinaan gazebo untuk kegunaan para pelajar.

Katanya, sumbangan itu dibuat bagi memastikan kebajikan STAY ATM terus dipelihara.

“Setakat ini, tempat tinggal pelajar okey, pembelajaran sekolah juga okey, tidak ada kekurangan di sekolah ini. Malah, segala perbelanjaan di semuanya ditanggung oleh ATM.

“Sumbangan ini juga termasuk membina gazebo, supaya pelajar boleh gunakannya untuk jadi tempat berehat di waktu petang, tidaklah duduk di asrama sahaja untuk ulangkaji pelajaran. Ia juga boleh digunakan sebagai tempat ibu bapa datang, jadi ada tempat untuk berjumpa,” katanya.

STAY ATM yang ditubuhkan sejak 1 Mac 2013 menumpukan kepada penyertaan pelajar usia 13 hingga 17 tahun dengan pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga mempelajari hafazan sepenuh masa manakala Tingkatan Empat dan Lima menumpukan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz dan barisan Pihak Pengurusan TDM.