Pelabagi ujian menimpa dirinya, pelakon dan pengarah Farid Kamil berkata dia tidak menyesal dengan apa yang terjadi dalam hidupnya.

Memetik Harian Metro, Farid menyifatkan dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh mahkamah serta gelaran Datuk ditarik balik adalah untuk melihat tahap keimanannya.


BACA: Hukuman Penjara 13 Bulan Farid Kamil Diganti Denda RM5,500

“Ada banyak perkara positif yang dilalui saya sekarang antaranya berlakon di Indonesia dengan Christine Hakim dan Acha Septriasa dalam sebuah filem.

“Dalam al-Quran ada menyebut, bagaimana seseorang itu boleh mengaku dirinya beriman sedangkan dia tidak diuji?,” katanya.

Dalam pada itu, Farid berkata, dia tidak boleh mengaku sudah cukup beriman meskipun telah melakukan banyak kebaikan. 


“Saya bukan saja rasa tapi nampak perkara itu berlaku di depan mata. Itu menunjukkan bahawa ujian yang diberikan kepada saya, mampu atau tidak saya tanggung.

“Dan juga adakah keimanan saya cukup untuk saya bertanggungjawab di atas apa yang terjadi? Mungkin saya dah buat banyak perkara baik tapi saya tak boleh mengaku saya cukup beriman selagi tidak diuji. Maka ujian itu memberi satu perspektif yang baru dalam hidup saya secara menyeluruh,” katanya.

Sebelum ini, Farid Kamil dijatuhi hukuman 13 bulan penjara bagi sabitan kes menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis dan empat bulan penjara bagi sabitan kes mengeluarkan perkataan tidak sopan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam menggantikan hukuman penjara 13 bulan bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah kepada denda RM5,000, manakala hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan digantikan dengan denda RM500.