Filem Hantu Kak Limah merupakan filem tahun 2018 yang banyak mengejutkan banyak pihak kerana berjaya meraih kutipan menghampiri RM40 juta. Malah ketika filem ini belum habis ditayangkan pun, sudah ramai peminat yang turut gembira kerana beranggapan pelakon akan turut menikmati bonus kerana kejayaan filem ini.

BACA: Baru 4 Hari, Hantu Kak Limah Pecah Rekod Kutip RM9 Juta


Bagaimanapun melalui BH Online, pelakon utama filem tersebut iaitu Awie mendedahkan perkara sebaliknya sekaligus membuatkan dia tidak ingin menyambung dan bekerjasama dengan penerbit yang sama selepas ini.


“Saya terkilan (jumlah) wang bonus yang diterima… Ini kerana kadar itu tidak sesuai dengan kerja keras kru produksi. Penerbit seharusnya lebih peka terhadap sumbangan kami demi kejayaan filem ini”

“Sebagai anak seni, saya rasa bertanggungjawab ‘membuka mulut’ bagi mempertahankan hak kami. Ini kerana dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Bukanlah tidak bersyukur, namun jangan ambil kesempatan apabila filem Hantu Kak Limah sudah berjaya”



“Saya selaku teraju utama hanya menerima beberapa ribu ringgit sahaja… Inikan pula pelakon dan kru produksi lain,” jelasnya kepada portal berita tersebut.

Namun menurut Awie, dia tiada masalah untuk berlakon di bawah arahan Mamat Khalid namun tidak sesekali di bawah produksi dan penerbit yang sama.

“Dengan syarat, filem itu bukan di bawah syarikat produksi yang sama. Saya tidak ada masalah untuk kembali berlakon di bawah arahan Mamat Khalid, cuma perlu tahu siapa penerbitnya. Saya enggan bekerjasama di bawah syarikat sama selepas pengalaman ini,” katanya.

Filem yang mula ditayangkan pada 9 Ogos lalu berjaya mengutip hampir RM40 juta malah filem terbitan bersama Astro Shaw dan Infinitus Gold ini juga berjaya membuatkan penonton berulangkali menonton di pawagam. September lalu, pengasas Infinitus Gold iaitu pelakon Hong Kong Andy Lau pernah menyatakan janji untuk memberikan bonus kepada tenaga produksi. (rtky/s)