HKL Jadi Pilihan VIP & T20, Kos Rawatan Swasta Semakin Tinggi

Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini bukan lagi hanya menjadi tumpuan pesakit berpendapatan rendah, sebaliknya semakin ramai golongan T20 dan VIP memilih rawatan di situ kerana percaya kepada kepakaran serta kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengarah HKL, Datuk Dr Harikrishna K.R. Nair menegaskan, meskipun terdapat peningkatan pesakit berkemampuan, golongan B40 kekal sebagai keutamaan dan semua pesakit dilayan sama rata tanpa sebarang keistimewaan.

“Walaupun anda Tan Sri atau Datuk Seri, tetap perlu tunggu giliran. Tiada layanan istimewa, tiada potong barisan. Semua rawatan diberi adil,” katanya.

Beliau menjelaskan ramai pesakit T20 dan VIP berpindah ke HKL selepas had insurans perubatan mereka habis atau apabila kos rawatan di hospital swasta terlalu tinggi, selain faktor kepakaran khusus seperti onkologi dan penggunaan teknologi robotik yang hanya terdapat di beberapa hospital termasuk HKL.

Dengan lebih 400 pakar, hampir 900 pegawai perubatan dan ribuan jururawat, hospital terbesar negara itu menerima sekitar dua juta pesakit setiap tahun dan menyediakan lebih 2,000 katil untuk pelbagai kelas wad.

Sistem kesihatan awam Malaysia turut dianggap antara terbaik di dunia apabila pesakit hanya perlu membayar RM1 bagi ubat bernilai sehingga RM2,000 dan RM5 untuk berjumpa pakar, jauh lebih murah berbanding fasiliti swasta, selain tiada caj konsultasi pakar atau penggunaan dewan bedah.

HKL yang menerima kira-kira 2,000 pesakit setiap hari juga menetapkan sasaran pesakit dapat bertemu doktor dalam tempoh 90 minit, walaupun ada rawatan tertentu memerlukan masa menunggu lebih lama.

×