fbpx

Hidup Susah, Mila Jirin Pernah Ikut Bapa Pungut Tin Tepi Jalan

Kini bergelar usahawan berjaya apabila empayar perniagaannya dalam industri perkahwinan iaitu Bizmilaa sudah pun berkembang, penyanyi Mila Jirin mendedahkan kehidupan lalu yang serba kekurangan membuatkan dia nekad mengubah nasib keluarga.

Mila berkata, kehidupan keluarganya yang pernah susah dahulu menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pengajian. Berkongsi cerita, dia pernah mengikut bapanya mengutip tin di tepi jalan kerana hidup susah.

BACA: Mila Jirin Tak Malu Jual Durian Untuk Bayar Gaji Pekerja

“Saya anak sulung dalam keluarga dan ibu bapa pula bekerja biasa dengan pendapatan kecil. Bapa saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan aktiviti lainnya, turut memungut tin di tepi jalan.

“Saya sendiri ada pengalaman ikut bapa pungut tin, memang kasihan. Ibu pula bekerja di kilang untuk bantu pendapatan bapa bagi menyara kami sekeluarga.

“Malah, pernah satu ketika atap rumah kami berlubang, bocor dan rosak akibat tak dapat diganti kerana tiada duit. Bila hujan, basah satu rumah dan itu sangat menyedihkan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Pernah bekerja di kilang sebelum menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2007, Mila tekad untuk bangkit dan berusaha memajukan diri. Ujarnya, dinobat sebagai juara ketika itu membantunya untuk mengubah nasib keluarga.

“Namun, kejayaan menjulang trofi juara AF5 sangat membantu saya untuk mengubah nasib keluarga. Dengan populariti diraih ketika itu, saya dapat memberi keselesaan pada ibu bapa dan adik-beradik.

“Apapun, saya terfikir juga sampai bila akan jadi penyanyi dan terus popular. Justeru, sedikit demi sedikit melalui simpanan dibuat, saya mula berniaga.

“Alhamdulillah, mujur bertemu suami saya, Isz Mustapha, ketika itu yang bertindak sebagai pengurus dan dia banyak membantu dengan mengajar saya selok-belok berniaga,” katanya.

Memulakan perniagaan kecil-kecilan selepas menyertai AF5 dan kemudian peniagaan industri perkahwinan sekitar 2013, Bizmilla kini sudah mempunyai tiga cawangan i Selangor, Kuala Lumpur dan Johor Bharu.