fbpx

Hidup Lebih Selamat Dengan Logo MeSTI

Kami rasa anda semua pun tahu yang sakit berpunca dari pengambilan makanan yang salah bukan perkara main main lebih lebih lagi di dalam dunia semua perkara kita mahu lakukan dengan cepat — termasuk makan.

Tidak salah sebenarnya untuk mengambil makanan yang diproses dan dipakej sebelum sampai ke tangan kita tetapi sebagai pengguna kita mestilah lebih peka dengan ciri ciri keselamatan sesebuah produk makanan tersebut.

Mujur kita sekarang ada MeSTI. Apa itu MeSTI? Pensijilan MeSTI adalah salah satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membantu pengusaha produk makanan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menghasilkan produk yang bersih dan selamat untuk pengguna.

Haaa, gitu.

Kalau anda seorang pengusaha produk makanan, anda wajib mendapatkan pensijilan MeSTI untuk produk anda untuk mengelakkan dari didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak lebih 2 tahun jika disabitkan kesalahan.

Lagi pun, dengan terteranya logo MeSTI pada produk makanan anda, pengguna lebih yakin memilih makanan bersih dan selamat — jualan akan meningkat dan perniagaan anda juga akan lebih berjaya.

Jika anda ingin tahu, berikut adalah faedah faedah yang boleh anda perolehi jika mendapat pensijilan MeSTI

    – Pensijilan dan bimbingan adalah PERCUMA
    – Tempoh sah pensijilan selama tiga tahun
    – Memudahkan proses permohonan pensijilan halal (JAKIM)
    – Memudahkan pasaran produk di pasaraya besar KR1M, COOP1M dan sebagainya
    – Mempercepatkan pengeluaran sijil pengeksportan seperti Sijil Penjualan Bebas (Free Sale Certificate) dalam tempoh satu hari TANPA dokumen tambahan
    – Logo MeSTI pada label produk makanan dapat menyakinkan pengguna terhadap keselamatan makanan produk tersebut
    – Memenuhi keperluan perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009

Jika anda berminat untuk memohon sijil MeSTI, anda perlulah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan juga KKM melalui Pendaftaran Premis Makanan melalui fosimdomestic.moh.gov.my.

Anda boleh memohon ecara online melalui FoSIM Domestik fosimdomestic.moh.gov.my ATAU muat turun borang permohonan dari fsq.moh.gov.my, isi dan hantar ke Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran dengan premis masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, layari fsq.moh.gov.my dan Facebook @BKKMHQ atau hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.