Aspek keselamatan kenderaan yang membawa petugas kesihatan ketika menjalankan tugas tidak boleh dikompromi, malah helikopter yang digunakan dalam Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) sewajarnya mempunyai standard keselamatan setanding pesawat yang dinaiki pemimpin negara.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R. Thirunavukarasu berkata, keselamatan petugas perlu menjadi keutamaan terutama apabila mereka perlu memasuki kawasan pedalaman dan berdepan keadaan muka bumi serta cuaca yang mencabar.

“Jika menteri boleh menggunakan pesawat dengan standard tinggi, mengapa petugas kesihatan tidak diberikan tahap keselamatan yang sama?

“Jangan wujudkan persepsi seolah-olah keselamatan mereka diketepikan ketika mereka bertugas menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Kebangsaan MMA dan Kongres Saintifik 2026 di Ipoh, hari ini.

Menurut Dr. Thirunavukarasu, penilaian keselamatan tidak seharusnya tertumpu kepada helikopter semata-mata, sebaliknya perlu meliputi semua bentuk pengangkutan yang digunakan petugas kesihatan termasuk ambulans dan bot.

“Penilaian terhadap jangka hayat aset, rekod penyelenggaraan, pensijilan keselamatan, peralatan kecemasan serta kesesuaiannya dengan muka bumi dan cuaca perlu diteliti secara berkala oleh pihak berwajib.

“Tiada pengangkutan seperti pesawat, ambulans mahupun bot yang harus digunakan semata-mata kerana ia tersedia atau terikat dengan kontrak, kebajikan dan keselamatan petugas kesihatan mesti sentiasa menjadi keutamaan tertinggi,” katanya.

Gesaan itu dibuat susulan nahas helikopter FDS di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak yang mengorbankan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31 serta dua jururawat, Debra Moset, 40 dan Jessie Paya Jok, 44.

Dr. Thirunavukarasu berkata, tragedi itu perlu menjadi titik perubahan dalam memperkukuh keselamatan pengangkutan perubatan dan tidak seharusnya berlalu tanpa penambahbaikan terhadap sistem sedia ada.

“MMA tidak mahu isu ini berlalu begitu sahaja. Perlu ada akauntabiliti dan penjelasan jelas mengenai apa yang berlaku,” tegasnya.

Selain aspek keselamatan aset, MMA turut mahu kebajikan petugas yang menjalankan tugasan berisiko diberikan perhatian termasuk melalui perlindungan insurans perjalanan dan kemalangan diri serta kajian semula terhadap bayaran insentif RM30.

“Bayaran insentif RM30 mesti dikaji semula secara menyeluruh bagi memastikan perlindungan mencukupi dan adil diberikan kepada mereka yang menjalankan tugas berisiko tinggi, tanpa mengira kategori perkhidmatan.

“Perlindungan insurans ini mesti diberikan tanpa mengira sama ada petugas berjawatan tetap, kontrak atau diambil bekerja melalui pengendali yang dilantik,” katanya.

Beliau menegaskan, tragedi yang meragut lima nyawa petugas kesihatan itu perlu menjadi titik perubahan kepada sistem sedia ada, bukan sekadar tragedi yang dilupakan.

KREDIT GAMBAR: Facebook/World Health Organization Western Pacific Region

×