fbpx

“Hati Saya Nekad Mahu Berubah, Saya Lakukan Kerana Allah”

Membuat keputusan untuk berhijab pada September lalu, Zara Zya mengakui dia sudah lama memendam hasrat untuk berhijab dan sangat bersyukur apabila niatnya untuk berhijrah itu dipermudahkan.

Enggan berkongsi lanjut mengenai penghijrahannya itu, Zara berkata dia masih dalam proses belajar serta berharap dirinya akan terus istiqamah untuk berhijab dan meminta para peminatnya mendoakan yang baik-baik.

BACA: Tak Kisah Tawaran Berlakon Terjejas, Zara Zya Nekad Berhijab

“Saya masih lagi dalam proses belajar. Tiada apa yang nak dikongsikan mengenai perkara ini. Apatah lagi, saya tidak gemar untuk menghebohkannya bagi menarik perhatian.

“Apa yang saya harapkan kini ialah terus istiqamah. Semoga, Allah sentiasa memelihara hati saya untuk kekal berhijab selamanya. Terima kasih juga, doakan yang baik-baik,” katanya kepada Harian Metro.

Memaklumkan dia ada menolak beberapa tawaran drama yang kurang sesuai dengan imej bertudung itu, Zara berkata dia tidak ralat dengan keputusannya itu kerana hatinya nekad mahu berubah manjadi insan lebih baik.

“Hati saya sudah nekad mahu berubah. Jadi, saya lakukannya kerana Allah sudah beri peluang itu. Saya sangat bersyukur dan jauh di sudut hati ini memang sudah sedia sepenuhnya.

“Insya-Allah, saya kini benar-benar inginkan masa depan menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Malah, saya tak rasa sayang langsung untuk menjual pakaian lama dimiliki,” katanya.

Kata Zara lagi, dia tidak gentar sekiranya keputusan menutup aurat itu mungkin menjejaskan tawaran lakonan kerana dia percaya bahawa itu rezeki daripada Allah itu datang dalam pelbagai bentuk.