fbpx

Harris Baba Undur Diri Dari Dunia Seni

Selepas kerjayanya yang semakin menurun selama tiga tahun lalu, penyanyi dan pelakon, Harris Baba, akhirnya membuat keputusan untuk mengundurkan diri dan meninggalkan dunia seni.

Menurut Harris, graf popularitinya merosot selepas dua tahun berehat dan menumpukan perhatian pada perniagaan keluarga di Sabah. Akur dengan takdir dan ketentuan, Harris berkata keputusan mengundurkan diri adalah pilihan terbaik.

“Saya berulang alik hampir setiap minggu dari Sabah ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, tiada rezeki saya menempa nama, jadi saya fikir keputusan mahu berundur diri adalah jalan terbaik.

“Saya berundur diri secara baik daripada syarikat rakaman, World Peace Entertainment walaupun baru lapan bulan menandatangani kontrak.

“Cukuplah, saya berada dalam industri hiburan. Jika diteruskan sekali pun, saya bimbang kerjaya berada di landasan yang sama. Jadi, saya harus bijak membuat keputusan,” katanya kepada BH Online.

Harris berkata, dia banyak terlepas momen indah bersama isteri dan anak sejak tiga tahun lalu dan inilah waktunya untuk tebus kembali masa yang terbuang. Ujarnya, dia melihat tempoh PKP sebagai hikmah buat dirinya untuk memperbaiki diri.

“Saya terlalu sibuk dengan kerjaya dan banyak terleka sebelum ini. Bagaimanapun, setiap masa saya berada di rumah sepanjang tempoh PKP. Jadi, saya memanfaatkan waktu senggang ini untuk memperbaiki diri dengan menjaga solat dan banyak melakukan amal ibadat lain,” katanya.

Dalam pada itu, Harris berkata dia kini menguruskan perniagaan bersama isteri. Perniagaan milik kakak iparnya diserahkan kepada Harris dan isteri, sejak setahun lalu.