fbpx

“Hargai Kepimpinan Najib, Tidak Adil Dilayan Sebegitu”

Semalam, rata-rata rakyat Malaysia ingin mengetahui perkembangan kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun, pelakon Ellie Suriaty menjadi perhatian umum apabila dia dilihat menimbulkan kekecohan ketika berada di perkarangan mahkamah.

Ellie Suriaty menegaskan dia tidak kisah dengan tanggapan netizen mengenai sokongannya terhadap Najib kerana dia berhak untuk memilih parti politik dan bebas menyokong mana-mana pemimpin.

“Kita berada dalam negara demokrasi. Saya berhak untuk memilih parti politik dan berhak untuk menyuarakan pandangan. Kalau netizen nak cakap negatif, itu pandangan mereka. Terpulang kepada mereka dan saya tak boleh nak kata apa.

“Saya anak seni dan kerjaya saya tak terikat dengan kerajaan. Malah, saya juga terima diri sebagai pembangkang,” katanya kepada mStar Online.

Kata Ellie lagi, dia tahu masih ramai lagi rakyat Malaysia diluar sana yang menghargai kepimpinan bekas perdana menteri itu. Ellie juga menganggap penahanan Najib tidak beretika dan berharap bekas pemimpin itu akan dibicarakan secara adil.

“Saya datang untuk beri sokongan moral kepada perdana menteri keenam yang pernah mentadbir negara. Supaya beliau tahu yang masih ada ramai lagi rakyat Malaysia menghargai kepimpinan dia.

“Bagi saya, cara penahanan itu tidak beretika dan tidak berhormat. Beliau pernah menjadi pemimpin yang mentadbir negara. Tak adil untuk dilayan sebegitu. Malah, dituduh dan difitnah dengan perkara yang dah terang-terangan salah. Saya berharap beliau akan dibicara secara adil,” katanya.