fbpx

Harga Roti Naik, Daphne Iking Dikecam Suruh Buat Sendiri Pakai Thermomix

Pengacara, Daphne Iking menerima kecaman hebat netizen gara-gara memberi cadangan kepada orang ramai agar membuat roti sendiri berikutan harga roti naik bermula hari ini.

Lebih mengundang kecaman apabila Daphne mencadangkan agar menggunakan perkakas memasak makanan premium Thermomix dimana harganya mencecah ribuan ringgit. Sedar dengan kecaman diterima susulan cadangannya itu, Daphne dia tiada niat untuk mengguris hati mana-mana pihak.

BACA: Daphne Iking Dedah Dua Minggu Fikir Nak Gugurkan Anak Keempat

“Saya baca komen-komen dan sedang memahami apa yang diperkatakan. Terima kasih kerana ‘tag’ saya.

“Satu benda yang saya nak jelaskan adalah saya tidaklah kaya-raya tetapi bersyukur kerana punya karier yang mampu bayar bil dan sediakan makanan atas meja. Saya tidak berniat menyakiti perasaan orang lain,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu, Daphne dikecam sehingga ada yang mendakwa pengacara itu tidak menghormati dan kurang sensitif terhadap golongan kurang berkemampuan.

Malah, ada yang mempersoalkan Daphne dengan mengatakan tidak semua orang mampu membeli Thermomix dan ada yang bergantung pada roti sebagai makanan harian.